Edinson Cavani.

LONDON – Ole Gunnar Solskjaer berpendapat, penyerang baharunya, Edinson Cavani  belum bersedia diturunkan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) menentang bekas pasukannya, Paris Saint-Germain (PSG) pagi ini.

Dalam pertemuan dengan naib juara Eropah itu di Paris, Manchester United turut tidak menyenaraikan ketua pasukan, Harry Maguire.

Maguire mengalami kecederaan ketika membantu United menewaskan Newcastle 4-1 dalam aksi terakhir Liga Perdana, pada Sabtu lalu.

“Sudah pasti kami mahu membawanya bersama tetapi Edi (Cavani) sudah lama tidak beraksi.

“Saya fikir lebih baik dia meneruskan latihan untuk benar-benar bersedia. Sebagai pemain dia tahu apa yang dia mahu dan perlu lakukan ketika ini.

“Dia merasakan dirinya tidak cukup bersedia sekarang,” kata Solskjaer kepada BBC.

Cavani, 33, menyertai United awal bulan ini selepas meninggalkan PSG, kelab yang disertainya selama tujuh musim.

Penyerang Uruguay itu telah meledak 200 gol sepanjang bersama PSG tetapi dia dibelenggu kecederaan pada musim terakhirnya di Perancis.

Dia juga tidak dapat beraksi apabila sudah pulih selepas Ligue 1 ditamatkan awal akibat pandemik Covid-19, selain terlepas Liga Juara-Juara bersama juara Perancis itu.

Itu bermakna, Cavani tidak mempunyai sebarang perlawanan kompetitif sejak Mac dan berusaha mengembalikan kecergasannya ketika ini.

Selain Cavani dan Maguire, Mason Greenwood, Jesse Lingard serta Eric Bailly juga tidak akan diturunkan dalam pertemuan dengan PSG.

Tanpa Maguire, lilitan kapten akan diambil alih oleh Bruno Fernandes. – MalaysiaGazette