Majlis Perbandaran Pasir Gudang melantik Madyasir Ahmad Basir sebagai Ahli Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Majlis Perbandaran Pasir Gudang melantik Madyasir Ahmad Basir (kiri) sebagai Ahli Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) mencatatkan rekod apabila melantik seorang anak muda berusia 25 tahun sebagai salah seorang ahli majlisnya.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Muhammad Shaqib Shahrilnizam berkata, langkah MPPG melantik Madyasir Ahmad Basir sebagai usaha merekrut pemimpin muda yang berpotensi dengan merit serta sesuai dengan prinsip Barisan Nasional (BN).

“Ini menunjukkan bahawa BN masih kekal relevan di mata orang muda, BN berjaya menguruskan pengurusan bakat mereka.

“Sebelum ini, saya telah menyebut tentang pandangan dan prinsip BN mengenai orang muda dan perihal orang muda termasuklah prinsip ekuiti antara generasi apabila kita bercerita soal perjuangan orang muda, kelmarin hari, kita telah melihat seorang anak muda yang berjaya menjadi ahli majlis,” katanya, hari ini.

Madyasir sebelum ini bekerja selama dua tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AAB Service & Trading Group iaitu menguruskan sektor sumber manusia lebih dari 300 pekerja dengan berlatar belakang kan jurusan kejuruteraan perisian.

Dalam pada itu, Muhammad Shaqib berharap semua bahagian di Malaysia dapat menyediakan lebih banyak platform seperti ahli majlis kepada mereka yang dilihat mampu memikul tanggungjawab.

“Tidak disangkal lagi, DAP telah menghasilkan lebih banyak pemimpin orang muda melalui pelantikan orang muda menjadi Ahli Majlis terutama sekali di kawasan Negeri Selangor dan Pulau Pinang sebelum ini.

“Satu perkara yang harus diakui oleh pembangkang, BN sekarang mempunyai “juara baru”, kami mempunyai ahli majlis yang lebih muda, merit dan berkaliber berbanding dengan senarai Ahli Majlis dibawah pimpinan DAP dan Madyasir mempunyai pengalaman, latar belakang dan merit yang lebih baik untuk dilantik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette