Pengawal keselamatan menutup pintu utama Masjid Putra keada semua aktiviti termasuk solat berjemaah dan solat jumaat pada hari pertama Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dilaksanakan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dataran Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2020.

ANGGAPAN masyarakat bahawa garis panduan atau disebut SOP yang dikeluarkan oleh pihak berwajib yang melibatkan aktiviti-aktiviti berkaitan agama adalah menyusahkan bahkan tidak patut dilakukan kerana anggapan mereka bahawa ianya bertentangan dengan syariat Islam. Ramai melihat masjid dan surau seolah-oleh dianaktirikan dengan SOP yang ketat dan sebaliknya membenarkan premis seperti pasar-pasar raya, pasar-pasar awam, kedai makan, kedai peralatan alat sukan beroperasi dengan SOP yang berbeza.

Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, masjid dan surau telah dihentikan operasi sedangkan premis-premis dinyatakan tadi dan aktiviti ekonomi terpilih dibenarkan. Larangan ini juga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota masyarakat yang terbiasa menunaikan solat fardu secara berjemaah dan juga menjadikan masjid sebagai tempat pertemuan untuk bersosial dengan rakan-rakan sekariah serta juga pusat melakukan aktiviti-aktiviti keilmuan berteraskan agama. Justeru, kami terpanggil untuk menerangkan kebarangkalian jangkitan boleh berlaku jika amalan-amalan Norma Baharu tidak diikuti semasa menunaikan ibadat dan juga semasa berada di tempat-tempat ibadat umat Islam. Kami juga menghuraikan garis panduan operasi tempat-tempat ibadat bukan Islam dalam artikel ini bagi kefahaman bersama.

Bagaimana aktiviti di masjid/surau memudahkan penyebaran virus?

Seperti yang kita sudah sedia maklum, virus penyebab Covid-19 tersebar melalui cecair pernafasan (termasuk air liur) yang mencemari udara, tangan dan permukaan. Jika seseorang yang dijangkiti datang ke masjid, virus boleh tersebar sekiranya tangan beliau yang tercemar memegang pili air semasa ke tandas/ mengambil wuduk, memegang pemegang pintu dan bersalaman dengan jemaah lain. Jemaah yang berada berhampiran
juga berisiko menghidu udara yang tercemar sekiranya individu tadi bersin, batuk dan bercakap. Sejadah adalah tempat yang paling mudah dicemari kerana semasa sujud, cecair pernafasan akan mudah terpercik ke atas sejadah.

SOP sedia ada

SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia adalah untuk meminimakan risiko jangkitan Covid-19 di masjid/surau. Ianya di putuskan berdasarkan kepada saranan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat banyak rungutan daripada orang awam kerana masjid-masjid dilihat terlalu ekstrem hingga menyebabkan kesukaran untuk orang Islam menunaikan solat berjemaah dan apabila berada di luar kawasan. Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan di seluruh masjid serta surau di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor selama 14 hari. Solat fardu berjemaah hanya boleh dilaksanakan dengan had bilangan jemaah tidak melebihi 6 orang.

Cadangan penambahbaikan SOP di masjid/surau

Covid-19 dijangka menjadi endemik (seperti influenza) di seluruh dunia. Ini bermakna, virus akan sentiasa ada di dalam komuniti selagi imuniti kelompok (herd immunity) belum dicapai. Adakah institusi keagamaan perlu terus ditutup atau dihadkan kepada orang ramai?

Sampai bila?

Kami berpendapat bahawa masjid dan surau boleh dibuka kepada orang awam dengan SOP yang lebih teratur beserta penerangan yang jelas. Pembukaan semula Masjidilharam dan Masjid Nabawi di Mekah dan Madinah kepada orang awam, patut dicontohi. Bilangan jemaah haruslah ditetapkan berdasarkan keluasan sesebuah masjid. Ada masjid yang besar dan juga ada masjid yang mempunyai keluasan yang terhad. Selain itu, sistem tempahan untuk solat berjemaah dicadangkan untuk dilaksanakan seperti yang dilakukan di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Sistem tempahan ini juga harus memberi keutamaan kepada mereka yang tidak mempunyai sakit kronik serta golongan berisiko tinggi untuk
mendapat komplikasi yang serius jika mendapat jangkitan Covid-19. Pengguna sistem tempahan ini perlu mempunyai integriti dan komitmen yang tinggi untuk hadir pada tarikh dan waktu tempahan. Sekiranya tidak dapat hadir jika ada halangan, pembatalan tempahan harus dibuat supaya dapat memberi laluan kepada jemaah yang berada di dalam senarai menunggu. Mereka yang bergejala tidak dibenarkan ke masjid atau surau dan dicadangkan untuk mendapat rawatan.

Sesetengah masjid atau surat juga memberikan keutamaan solat Jumaat kepada ahli jemaah yang hadir awal. Masjid dibuka seawal jam 11.45 pagi bagi tujuan solat Jumaat dan pagar masjid ditutup apabila bilangan kuota telah mencukupi. Dalam keadaan pandemik, disarankan agar kita tidak berada lama pada satu-satu tempat dalam satu-satu masa bersama ramai orang. Oleh yang demikian, kami mencadangkan agar amalan ini turut diubah kepada sistem tempahan dan penggiliran bagi meminimumkan jumlah masa berada dengan ramai orang pada satu-satu masa.

Masyarakat harus mengikut SOP yang mengkehendaki mereka mengimbas kod QR MySejahtera, menggunakan pembersih tangan (hand sanitiser), membawa sejadah sendiri, melakukan penjarakan fizikal sepanjang masa semasa berada di masjid atau surau serta digalakkan mengambil wuduk di rumah. Sebaik sahaja selesai ibadat, jemaah disarankan agar terus meninggalkan masjid dalam keadaan tenang dan teratur sementara mengekalkan  jarak fizikal lebih daripada satu meter di antara satu sama lain. Kami juga mencadangkan agar sumbangan ke tabung masjid hanya menggunakan perbankan atas talian dan tidak menggunakan tabung fizikal terutamanya tabung bergerak ketika solat Jumaat atau solat-solat fardu. Jemaah juga harus menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di masjid atau surau bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Bagi penganut agama lain, garis panduan operasi tempat-tempat ibadat telah dikeluarkan oleh Kementerian Perpaduan Negara. Pada waktu PKPB di Lembah Klang ini, tempat-tempat ibadat bukan Islam turut dihentikan operasi buat sementara. Bagi penganut agama Kristian, di negeri-negeri yang bukan dalam PKPB, upacara-upacara agama termasuk perhimpunan-perhimpunan agama adalah mengikut SOP yang mengehadkan bilangan penganut di dalam premis pada satu-satu masa, keperluan pendaftaran semasa masuk ke gereja menggunakan imbasan kod QR, tidak bersalaman atau bersentuhan dengan individu lain serta duduk sekurang-kurangnya satu meter di antara seorang individu dengan individu yang lain. Selain itu, perkongsian peralatan ibadat juga adalah dilarang. Petugas atau penganut yang bergejala juga dilarang ke gereja. Selain itu, aktiviti keagamaan secara virtual dan atas talian amat digalakkan.

Kesimpulan

Pandemik COVID-19 menyebabkan kita perlu mengamalkan norma baharu untuk memutuskan rantaian jangkitan. Mungkin satu-satu kaedah dalam garispanduan tersebut pada peringkat awalnya mendatangkan rasa tidak puas hati dan kekok untuk kita melakukannya kerana umum mengetahui bahawa kita agak sukar untuk menerima perubahan. Kita tidak harus terus merungut dengan SOP yang dikenakan oleh pihak berwajib, tetapi kita boleh cuba menyesuaikan diri secara kreatif dan inovatif. Walaupun sukar untuk mendengar ceramah dan memberi sumbangan di masjid, kita masih boleh berbuat demikian dengan menggunakan teknologi. Untuk solat berjemaah, cuba dapatkan slot di masjid, jika tidak berjaya, kita boleh berjemaah bersama ahli keluarga di rumah. Tidak bersalaman dan bertegur sapa dengan jiran-jiran di masjid bukanlah penghalang untuk kita merapatkan silaturahim. Banyak aplikasi telefon yang boleh digunakan untuk bertanya khabar dan berkongsi ilmu dan pendapat.  Bagi institusi masjid/surau, SOP perlulah dibuat berdasarkan situasi semasa, saiz ruang dan jumlah pekerja atau sukarelawan di masjid. Satu SOP tidak boleh digunapakai oleh semua masjid.

Penulis: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) & Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani ( Pakar Kesihatan Awam)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia