Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Penegasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan UMNO tetap bersama Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui  ‘jalan mati’.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata, Anwar yang juga Ketua Pembangkang tiada pilihan selain berhenti daripada memainkan isu untuk kesekian kalinya.

“Sebelum ini saya sudah menyebut bahawa kali ini Anwar sudah sampai ke penghujung ‘jalan mati’.

“Tiada pilihan selain Anwar harus berhenti setakat itu atau U-turn untuk kesekian kalinya.

“Tunjang PN adalah MN. Selagi MN ini diperkukuhkan bersama oleh UMNO dan PAS, selagi itu peluang untuk PH (Pakatan Harapan) menumbangkan PN tidak akan tercapai.

“Insyaallah dengan kenyataan DZH (Ahmad Zahid Hamidi) itu simpulan MN semakin diperketatkan dan sekaligus mengukuhkan kerajaan PN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mokhtar Senik
Mokhtar Senik

Mokhtar berkata, kenyataan Zahid yang juga Presiden UMNO itu turut melukai harapan DAP dan PKR.

Ini kerana, katanya, PKR mengharapkan UMNO menyokong Anwar untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri (PM) kesembilan, manakala DAP berharap dapat kembali menghirup nikmat atas terbentuknya kerajaan PH sekali lagi.

“Sebab itu Lim Kit Siang tanpa berselindung meluahkan kekecewaannya dengan penegasan Zahid itu.

“Saya kira penegasan ini turut menjawab berbagai telahan sebahagian orang yang mengatakan UMNO akan bersama Anwar, khususnya selepas Anwar mengisytiharkan beliau mempunyai sokongan ‘kukuh’ yang meyakinkan’.

“Kenyataan itu turut melegakan banyak pihak termasuk ahli PAS dan juga ahli UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette