Petugas Sunway Medical Centre melakukan ujian saringan Covid-19 bagi membendung penularan virus itu di Sunway Medical Centre, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengesan tiga lagi kluster baharu Covid-19 yang membabitkan enam daerah di tiga negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu adalah Kluster Samudera di Sandakan, Sabah; Kluster Palma di Gombak dan Hulu Selangor serta Kepong, Kuala Lumpur; dan Kluster Jaya di Sepang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, katanya, saringan membabitkan tujuh kontak rapat dijalankan setakat hari ini dan mendapati semua individu positif virus itu menjadikan keseluruhan lapan positif bagi kluster berkenaan.

“Kluster Palma pula dikesan apabila kes ke-20,399 positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti 12 lagi kes positif Covid-19. Hingga 23 Oktober, pukul 12 tengah hari ini, seramai 101 individu disaring, yang mana 13 kes dikesan positif Covid-19 (sembilan kes baharu) dan 88 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Noor Hisham menambah, bagi Kluster Jaya, ia bermula apabila kes indeks didapati positif pada 20 Oktober lalu hasil saringan di tempat kerja sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19. Hingga 23 Oktober, pukul 12 tengah hari, sejumlah 48 individu disaring di mana sembilan kes dikesan positif Covid-19 (tiga kes baharu) manakala 39 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette