A'zlan Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Tuntut Rakyat Malaysia (TUNTUT) melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan merasakan penderitaan dan kerugian rakyat akibat gangguan bekalan air tidak berjadual hanya sekadar RM2 sahaja.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar sebaliknya menegaskan ganti rugi itu perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor kerana ia adalah kegagalan pentadbrian Amirudin sendiri.

“Hanya RM2 sahaja sebagai diskaun bil air untuk rakyat yang derita memikul air? Kami jangkakan lebih daripada itu, sedangkan ia adalah kegagalan Kerajaan Negeri Selangor sendiri.

“Nilai itu umpama harga sebotol air mineral RM2, itu pun Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu berikan kerana ada keperluan lain yang lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang untuk memberikan diskaun mahupun pengecualian bil air kepada kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 19 Oktober lalu.

Sebaliknya Amirudin menegaskan, bayaran rebat berjumlah RM4 juta itu sebaiknya digunakan untuk menambah kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengesan pencemaran di sepanjang Sungai Selangor.

Sejak 19 Oktober lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd terpaksa melakukan henti tugas ke atas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang selepas pihaknya mengesan pencemaran bau sehingga 3 TON.

Susulan henti tugas keempat-empat LRA terbabit, gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

A’zlan juga mempersoalkan sejauh mana Kerajaan Negeri Selangor boleh memberi jaminan dengan pelantikan lebih 20 pegawai pemantauan LUAS gangguan bekalan air tidak berjadual tidak akan berulang.

“Ini merupakan peruntukan jangka masa panjang berbanding dengan rebat percuma bil air untuk rakyat rakyat Selangor.

“Adakah ini jaminan Kerajaan Negeri bahawa krisis ketiadaan air ini tidak akan berlaku lagi?

“Ini adalah bukti Kerajaan Selangor semakin daif dengan kebekurangan hasil pendapatan Kerajaan Negeri Selangor yang dikatakan negeri maju.

“Hanya RM2 sahaja untuk mengubat derita hati rakyat bila berdepan dengan krisis air akibat kelemahan pihak Kerajaan Negeri Selangor sendiri,” katanya.

Katanya lagi, dengan rizab kewangan yang semakin bertambah sewajarnya Kerajaan Negeri Selangor menggunakan dana awam itu demi kepentingan kebajikan rakyat.

“Menteri Besar Selangor masih tidak menghiraukan untuk meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“MB Selangor nak tunggu sampai rakyat putus tangan pikul air agaknya?

“Kerajaan Negeri Selangor mempunyai pendapatan tinggi dan juga simpanan rizab kewangan yang banyak? Mana?

“Gunakanlah sekarang untuk rakyat atau mahu rakyat bagi RM2 kepada Amirudin sebagai bayaran pencen sebagai Menteri Besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dh blh letak jwtn MB ni..x blh hrp lansung pentingkan kedudukan dia tapi rakyat langsung x dipeduli ‍♂️

Comments are closed.