Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Seramai 639 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, seramai 634 individu telah dikompaun manakala empat direman dan seorang dijamin.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (228), tidak memakai pelitup muka (209), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (106), aktiviti pusat hiburan (15), dan lain-lain (81).

Dalam pada itu, seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng, semalam.

Turut dirampas adalah dua buah bot dan tiga kenderaan darat.

Dalam kenyataan yang sama, Ismail Sabri turut memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Pokok Sena dilanjutkan sehingga 7 November ini.

“Saringan oleh KKM sehingga 22 Oktober 2020, masih terdapat kes positif di kalangan banduan dan kakitangan penjara tersebut,” katanya.

Bagi Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan di Sabah pula, pelaksanaan PKPD akan ditamatkan mengikut jadual iaitu pada 25 Oktober ini selepas tiada lagi kes aktif direkodkan.

Kedua-dua lokaliti itu telah diletakkan di bawah PKPD selama lebih sebulan sejak 11 September lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast