Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat khas Kabinet yang berlangsung kira-kira tiga jam pagi tadi dikatakan membuat keputusan untuk menggantung sidang Parlimen yang dijadual pada 2 November ini bagi membolehkan usaha menangani pandemik Covid-19 dilaksanakan sepenuhnya.

Langkah bersifat darurat ini diputuskan berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang sehingga semalam masih melebih paras 800 kes, malah setiap hari ada sahaja kluster baharu dikenal pasti.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan bergegas ke Kuantan bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong pukul 5 petang ini berhubung keputusan Kabinet pagi tadi.

Menurut sumber, selaras dengan fungsi Perdana Menteri sebagai penasihat Agong, Muhyiddin perlu mendapatkan nasihat dan persetujuan baginda untuk melaksanakan keputusan tersebut.

Selepas mendapat perkenan dan dokumen ditandatangani oleh baginda, baharulah perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut kepada rakyat dan dikhabarkan pukul 8 malam ini satu pengumuman yang berkaitan akan dibuat.

Beliau berkata, Muhyiddin juga perlu menjelaskan perkara tersebut kepada rakyat untuk mengelak sebarang kegelisahan mengenai keputusan terbaharu ini.

Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(1) yang memperuntukkan:

“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.

Dalam perkembangan terbaharu keputusan Kabinet hari ini dikaitkan dengan kehidupan ekonomi di mana pandemik Covid-19 menjejaskan kehidupan rakyat dan juga kesejahteraan ekonomi.


Sidang Dewan Rakyat dijangka membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat, 6 November 2020.

Berita lanjut menyusul.

— MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

1 Komen

  1. Kalau belanjawan tidak diluluskan, maka kakitangan kerajaan tiada gaji termasuk juga barisan hadapan covid 19.

Comments are closed.