Gambar ihsan PGA

KUANTAN – Seorang pengusaha kebun kelapa sawit ditahan kerana memiliki sembilan ekor landak raya ketika serbuan Op Bersepadu Khazanah di sebuah rumah di Kampung Paya Siput Batu, Lanchang, Temerloh, petang semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (PERHILITAN) negeri Pahang serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 1 tengah hari.

“Pasukan penguat kuasa menemukan sembilan ekor landak raya jenis Hystrix Brachyura ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan luar rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, lelaki berusia 54 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan dan telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara landak raya yang dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Pahang.

Beliau berkata, lelaki berkenaan mula menangkap landak raya sejak tiga tahun lalu dengan menggunakan perangkap jenis jebak serta memelihara landak itu sehingga ia membiak dalam milikannya.

Bukan itu sahaja, selain memelihara landak raya itu sebagai hobi, daging haiwan liar terbabit katanya turut dijual dengan harga RM150 sekilogram kepada kedai makan dan rakan terdekatnya mengikut permintaan.

“Justeru, kesemua landak raya yang dianggarkan bernilai RM36,000 telah dirampas selain lima buah sangkar bernilai RM500,” katanya lagi.

Ahmad Radzi memaklumkan bahawa kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Pahang untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here