Sebahagian pengamal media yang membuat liputan di pintu masuk pada mesyuarat khas bersama menteri kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir selepas tiga jam diadakan.

Mesyuarat yang bermula jam 9.30 pagi tadi dihadiri semua Jemaah Kabinet.

Beberapa menteri yang ditahan di luar pintu Perdana Putra oleh pihak media enggan membuat sebarang kenyataan apabila ditanya mengenai mesyuarat khas yang selesai pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pertanian dan Industri Makanan ialah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika ditahan sekadar melemparkan senyuman dan melambai tangan.

MalaysiaGazette difahamkan mesyuarat khas itu membincangkan isu-isu mengenai penularan Covid-19 yang kini melanda negara, selain isu-isu semasa membabitkan ekonomi termasuk Bajet 2021.

Bajet 2021 akan dibentang di Parlimen pada 6 November ini. – MalaysiaGazette