Kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdulaziz pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

KUANTAN – Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin tiba di Istana Abdulaziz  di sini hari ini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdulaziz pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Turut kelihatan memasuki Istana Abdulaziz ialah kenderaan rasmi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Pengamal media mula berkumpul di laluan masuk ke istana itu seawal 2.30 petang, selepas ura-ura Perdana Menteri akan menghadap Seri Paduka mula tersebar sejak tengah hari tadi.

Muhyiddin terdahulu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya pagi tadi, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

Turut dilihat memasuki Perdana Putra ialah kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet dan PAT Affendi Buang.

— BERNAMA