Shell

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah memandang serius terhadap impak yang akan berlaku sekiranya Shell Malaysia mengecilkan operasinya di negeri berkenaan.

Justeru Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa agar Shell mempertimbangkan semula keputusan itu kerana ia jelas akan memberi kesan kepada pendapatan rakyat Sabah yang bekerja dengan syarikat berkenaan.

Secara keseluruhan tambah beliau, ekonomi negeri di bawah bayu itu juga akan terkesan.

“Sepatutnya Shell Malaysia berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Sabah dalam mengimbangi ekonomi negeri bukannya hanya mengambil keuntungan di negeri ini semata-mata dan semasa sukar terus meninggalkan rakan yang banyak membantu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar Bung Moktar, Shell merupakan salah satu syarikat petroleum yang telah mendapat banyak manfaat di Sabah.

Kata beliau, syarikat berkenaan seharusnya bersama-sama dengan kerajaan negeri mengekang penularan wabak Covid-19.

Semalam Shell dilaporkan bakal mengecilkan operasinya dan situasi ini sudah tentu akan menggagalkan impian Sabah untuk dijadikan negeri pengeluar minyak dan gas terbesar Malaysia. -MalaysiaGazette