Muhyiddin Yassin

KEBELAKANGAN ini, serangan politik terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin hebat dan ada sahaja pihak yang tidak senang duduk dengan kepimpinannya dan taktik terbaru ialah menggunakan pandemik Covid-19 bagi menyerang pemimpin tertinggi negara itu.

Mereka mendakwa Perdana Menteri gagal dan lemah dalam menangani krisis dibawa virus berbahaya ini, mempersoalkan mengapa beliau hanya menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan Bersasar (PKPDB) atau PKP Bersyarat (PKPB) ketika kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Mereka menuduh beliau tidak efektif dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak melaksanakan semula PKP yang kawalannya lebih ketat. Mereka mendakwa Muhyiddin ambil kesempatan daripada penularan wabak ini untuk bermain politik, mengelak membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Bagi saya, tidak masuk akal apabila mendakwa Perdana Menteri menggunakan Covid-19 untuk kekal memegang kuasa. Jika betul, pasti kerajaan tidak akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan atau menyalurkan peruntukan besar untuk memerangi virus ini.

Setakat ini, saya belum dengar lagi ada mana-mana kenyataan Muhyiddin berkisar mengenai politik kerana seperti ditegaskan Perdana Menteri sendiri, fokus beliau ketika ini adalah memerangi Covid-19 dan meningkatkan kembali ekonomi.

Saya secara peribadi menyokong keputusan kerajaan tidak melaksanakan semula PKP seperti Mac lalu kerana langkah itu tidak semestinya dikuatkuasakan sepanjang masa. Ini kerana kawalan penuh atau ‘total lockdown’ sesuai pada peringkat awal penularan seperti dilaksanakan hampir seluruh dunia sebelum ini.

Di Malaysia, PKP terbukti berkesan dalam mengawal penularan ketika dilaksanakan pada Mac lalu. PKP perlu pada masa itu ketika tidak banyak yang diketahui mengenai virus baharu ini dan semua negara serta Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri masih belajar daripada kesilapan.

Pada awal penularan virus ini kira-kira tujuh bulan lalu, PKP adalah relevan untuk memberi kita masa membuat persiapan yang perlu, namun bagi jangka panjang, WHO berpandangan ia memudaratkan, terutama bagi golongan miskin, pekerja bahawan dan juga perniagaan.

Apabila maklumat mengenai Covid-19 semakin banyak dikumpul, semakin virus ini difahami, langkah mengawal penularannya menjadi semakin baik. Pendekatan kawalan secara bersasar atau PKPDB dan PKPB pula digunakan untuk mengimbangi kepentingan nyawa dan kelangsungan kehidupan manusia.

Pakar-pakar kesihatan dan ekonomi juga berpandangan sama. Pihak industri juga bersetuju sektor perniagaan dibenarkan kekal beroperasi bagi memastikan ekonomi kita tidak mati, tetapi ia mesti disertai pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Saya juga ada membaca kenyataan Tan Sr Dr Jemilah Mahmood, iaitu Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri yang senada dengan WHO, iaitu matlamat perintah kawalan tidak lagi sepatutnya dilaksanakan secara menyeluruh atau ‘total lockdown’ seperti pada Mac lalu.

Sekarang, tumpuan KKM adalah mengawal penularan di kawasan panas. Apabila lebih banyak ujian saringan dilakukan, jumlah kes jangkitan baharu akan meningkat, tetapi kita beruntung kerana KKM mempunyai keupayaan yang cukup.

Cukup-cukuplah berpolitik, cukup-cukuplah mengkritik dari kerusi empuk. Jangan jadi seperti kuali atau periuk kata cerek hitam. Memburukkan orang lain memang mudah, tetapi bagaimana dengan diri kita sendiri.

Sedarlah bahawa keutamaan kita mesti satu, iaitu membanteras Covid-19. Bukan tidak boleh berpolitik mengejar kuasa, tetapi masanya bukan sekarang.- MalaysiaGazette

 

Roslan Abd Talib
Taiping, Perak

 

2 Komen

  1. Setuju dengan penulis. Ahli politik bosan dok rumah pastu pakat pakat xde kerja, asik nak bercakar saja la. Kami nk keluar cari makan pun payah covid merata. Hampa asik bilang berapa kerusi nak rampas.

  2. KUALA LUMPUR – Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik koronavirus (Covid-19) – Lapor sebuah akhbar terkemuka tempatan!

    Disebabkan ketamakan kuasa oleh Pakatan Hancing/DAP Sabah mereka telah membubarkan DUN dan inilah punca utama dimana penularan COVID-19 gelombang ketiga telah berlaku dalam skala besar2an?

    Ianya amat menyusahkan rakyat untuk berniaga, bersekolah, bekerja dsb, oleh itu Pakatan Hancing/DAP perlu mengambil tanggungjawab!

Comments are closed.