ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

Pelabur antarabangsa terus aktif berurus niaga di Bursa tempatan tanpa menghiraukan keadaan politik negara yang tidak menentu.

Ini terbukti dengan purata nilai dagangan harian (ADTV) berdasarkan kepada empat hari dagangan mulai Isnin sehingga Khamis (19-22 Okt) kekal menggalakkan pada RM1.5 bilion.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, ADTV pelabur asing telah kekal melepasi paras RM1.0 bilion untuk tempoh 17 minggu berturut-turut.

Bagaimanapun, urus niaga yang tidak menentu sepanjang minggu telah menyaksikan pelabur antarabangsa melupuskan RM177 juta bersih jumlah ekuiti bermula Isnin sehingga Khamis, lebih daripada sekali ganda aliran keluar bersih RM86 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama minggu lepas.

Adam berkata, ini membawa kepada aliran keluar bersih asing dari Malaysia setakat tahun ini berjumlah RM22.75 bilion.

“Minggu ini bermula dengan mood positif dengan pelabur antarabangsa membeli sehingga RM101.6 juta bersih ekuiti tempatan awal minggu urus niaga.

“Sentimen risiko pada Isnin disokong terutamanya oleh data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China yang mengembang 4.9 peratus dalam suku ketiga 2020 berbanding tahun sebelumnya. Ini telah membantu ekonomi negara itu berjalan lancar untuk menjadi satu-satunya enjin pertumbuhan utama dunia,” katanya kepada Bernama.

Selain daripada itu, beliau berkata, peningkatan ketara kes Covid-19 terutamanya di Malaysia telah mendorong minat belian ke atas saham berkaitan penjagaan kesihatan seperti Hartalega dan Top Glove yang mengukuh lebih daripada tiga peratus pada Isnin, 19 Okt.

“Bagaimanapun, pasaran menyaksikan jualan oleh dana antarabangsa berjumlah RM134.8 juta pada Selasa di celah-celah kebimbangan berlakunya lebihan bekalan minyak di pasaran.

“Ini berikutan rancangan Libya untuk menaikkan pengeluaran minyaknya daripada hanya 100,000 tong sehari pada awal September kepada sekitar 300,000  bpd selepas Jeneral Khalifa Haftar mengakhiri sekatan minyak ke atas Libya,” jelas beliau.

Gabenor bank pusat Libya, Sadiq Al-Kabir pula menyatakan ia perlu meningkat pengeluaran minyak kepada 1.7 juta bpd untuk menampung paras pada masa ini kerana penutupan pengeluaran dan eksport negara itu sejak 2013 telah menyaksikan Libya menanggung kerugian sekitar AS$180.0 bilion.

Adam berkata jualan bersih asing berterusan pada Rabu dengan jumlah RM162.7 juta bersih.

“Sementara itu, Top Glove and Hartalega, kedua-duanya merosot lebih daripada enam peratus pada Rabu berikutan pelabur mengaut keuntungan selepas pergerakan rancak baru-baru ini diikuti dengan terdapatnya perkembangan baharu mengenai vaksin Covid-19.

“Oleh itu, bukanlah satu kejutan menyaksikan Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia menyusut 3.7 peratus pada Rabu,” kata beliau.

Pada Khamis pula, pelabur luar pesisir kembali ke Bursa dengan membeli RM18.9 juta ekuiti tempatan bersih, kata beliau.

“Ini, walaupun selepas Presiden AS Donald Trump menuduh Demokrat enggan untuk berkrompomi berkenaan pakej rangsangan. Masih belum jelas apakah rundingan rangsangan itu akan berlanjutan sehingga menjelang pilihan raya presiden dan kongres AS pada 3 November,” katanya.

Untuk minggu baru berakhir, bursa tempatan bergerak kebanyakannya dalam zon merah, dipengaruhi oleh prestasi Wall Street yang digerakkan oleh pelan pakej rangsangan yang masih belum pasti berikutan pergolakan politik  dan kemunculan semula kes-kes COVID-19 di seluruh dunia.

Pada Jumaat 23 Okt, indeks penanda aras FMB KLCI susut 4.16 mata kepada 1,494.64 daripada penutup hari sebelumnya iaitu pada 1,498.80 sementara jumlah dagangan meningkat kepada 6.92 bilion unit bernilai RM4.1 bilion pada Jumaat daripada 6.73 bilion unit bernilai RM4.6 bilion hari sebelumnya.

Sementara itu, untuk unjuran minggu hadapan, Adam berkata aliran keluar bersih asing dijangka berterusan di celah-celah ketidakpastian situasi politik Malaysia, selain daripada tekanan luar seperti pilihan raya presiden AS yang dijadual berlangsung pada 3 Nov ini.

Antara perkembangan besar yang berlaku sepanjang minggu ini ialah kemungkinan berlakunya pembubaran kabinet dan desas-desus pengumuman “darurat” menjelang pengumuman Belanjawan 2021.

Pengisytiharaan darurat dikatakan pilihan terbaik bagi kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 ketika ini

Pada pagi Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, bagi membincangkan isu-isu semasa yang dikatakan turut hadir sama ialah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Muhyiddin bersama Affendi, kemudian berlepas ke Pahang untuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, hasil mesyuarat masih lagi tidak diketahui (ketika berita ini ditulis) kerana tiada sebarang kenyataan rasmi mengenainya dibuat, sekali gus meninggalkan orang awam dan media dengan spekulasi dan teori masing-masing.

Untuk perkembangan korporat pula,  Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan skim persaraan awal kepada pekerja berusia 45 tahun dan ke atas serta yang telah berkhidmat dengan syarikat secara berterusan selama minimum 10 tahun, termasuk tempoh perkhidmatan dalam kumpulan Malaysia Airlines. – MAlaysiaGazette