Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melambai tangan ke arah petugas media ketika tiba bagi menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan
melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan dua muka surat itu menyusul selepas Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu berbincang mengenai cadangan Jemaah Menteri yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada baginda di Istana Abdulaziz Jumaat lalu.

Dalam kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli politik supaya berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Tegas baginda, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sesungguhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini,” katanya lagi.

Jumaat lalu Muhyiddin bersama rombongan menghadap baginda bagi mempersembahkan cadangan pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di Malaysia.

Petang tadi, Majlis Raja-Raja telah mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara bagi membincangkan perkara tersebut.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Apa yang lebih utama adalah rakyat GUMBIRA melihat kesatuan dan muafakat Raja2 Melayu, itu yang lebih utama!

    Tetapi hati2, dikatakan ada chauvinist dari sebuah parti chauvinist dari negara ini sanggup terbang beribu kilometer untuk bersama2 rakan mereka disana untuk menghasut rakyat asli/asal Thai untuk membenci raja mereka. Itu yang Tuanku2 semua wajib beri perhatian, mereka tidak pernah jemu menanam benci!

Comments are closed.