KUALA BERANG – Tujuh lelaki yang tersesat ketika mendaki di Bukit Balik Hidung, di Kampung Paya Besar, di sini, berjaya diselamatkan bomba malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, kesemua mangsa yang berusia 17 hingga 29 tahun itu mula mendaki kira-kira pukul 5 petang semalam namun tersesat ekoran cuaca gelap dan gagal temui jalan keluar.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.10 malam dan lapan anggota telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di situ kita dimaklumkan bahawa tujuh lelaki terbabit terbahagi kepada dua kumpulan yang mana jarak antara kumpulan tersebut dianggarkan kira-kira dua kilometer,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Hanaffi berkata, masing-masing hanya mengetahui telah tersesat setelah berhubung melalui telefon dan bertanya destinasi terkini.

Kesemua mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat. – Bernama