Bas Nadiputra mula membawa penumpang selepas dilancarkan hari ini di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 26 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperkenalkan perkhidmatan bas percuma di kawasan Putrajaya bagi semua pengguna bermula 1 November ini.

Ia merupakan inisiatif penggunaan 40 buah bas di 12 laluan sekitar wilayah itu dengan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM12 juta setahun.

Perkhidmatan tersebut bakal dinikmati warganegara Malaysia terutama warga Putrajaya.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar berkata, setakat ini sudah menerima 4,000 pengguna berdaftar bagi menikmati perkhidmatan percuma itu.

“Perkhidmatan ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Wilayah Prihatin Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membantu rakyat khususnya warga Putrajaya dalam mengurangkan beban sara hidup selain aspek pengangkutan serta memudahkan urusan di Putrajaya.

“Kemudahan bas percuma ini hanya untuk warganegara Malaysia manakala warga asing  dikenakan tambang RM1.50 bagi satu laluan.

“Perkhidmatan bas percuma ini dikendalikan Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) iaitu syarikat yang mengurus dan mengendalikan operasi bas Nadi Putra ” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bas Percuma di Persiaran Perdana, Presint 2, di sini hari ini.

Beliau berkata, kemudahan bas percuma itu akan menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang dapat membantu memulihkan ekonomi setempat.

“Bagi meningkatkan lagi perkhidmatannya, laluan dan kekerapan bas Nadi Putra juga telah dibuat penyusunan semula melibatkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

“Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 diperkenal yang bermula di Kompleks E dan akan melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.

“Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak (jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 6.40 petang), setiap 10 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit untuk waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Manakala, bagi 11 laluan perkhidmatan selebihnya akan melalui kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4  dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Selain Putrajaya Sentral sebagai stesen utama, dua buah hentian iaitu di Kompleks E, Presint 1 dan di Dataran Gemilang, Presint 4 juga dijadikan sebagai transit yang menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan perkhidmatan yang lain bagi memudahkan penumpang,” ujarnya. – MalaysiaGazette