Tasek Bera

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Pahang menangani isu penerokaan tanpa kebenaran yang dilaporkan melibatkan kawasan lebih 2,212 hektar dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasek Bera.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi Operasi Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu dan mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri dalam memastikan khazanah hutan negara terus dipelihara dan diurus secara mampan.

Menurut beliau, Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan Tasek Bera turut diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada 1994, sekali gus mempunyai kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologi tanah lembap di peringkat antarabangsa.

“NRES sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Ramsar sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap yang penting ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, aktiviti di Tapak Ramsar seharusnya dilaksanakan berlandaskan prinsip wise use yang menjadi panduan utama di bawah Konvensyen Ramsar.

“Sebarang aktiviti penerokaan, penebangan dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani secara berhemah serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi mengelakkan kesan terhadap keseimbangan ekosistem dan habitat hidupan liar,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Arthur menambah, operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang sejak September 2026 selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus serta perlindungan HSK dan mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Disember 2021, yang antara lain menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri bagi menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran dalam HSK berdasarkan peruntukan Akta 313.

“NRES akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras di peringkat Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

NRES berkata, kerjasama itu penting bagi menyokong komitmen Malaysia yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok.

Sehubungan itu, tambahnya, kementerian tersebut melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan agensi berkaitan, khususnya dalam aspek penyelarasan dasar, khidmat nasihat teknikal, pemantauan serta usaha pemuliharaan kawasan hutan yang terjejas.

“NRES kekal komited memastikan khazanah hutan dan biodiversiti negara terus dipelihara dan diurus secara mampan melalui pendekatan seimbang antara penguatkuasaan undang-undang, pemeliharaan kelestarian alam sekitar serta menjaga kepentingan dan kesejahteraan komuniti setempat demi manfaat generasi masa kini dan akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here