Dybala memulakan rundingan menyambung kontrak bersama Juventus untuk terus kekal di Juventus.Foto: Reuters

LONDON – Penyerang Argentina Paulo Dybala telah memulakan rundingan bersama Juventus untuk menyambung kontraknya.

Dybala yang dikhabarkan kuat berhijrah ke Old Trafford pada jendela perpindahan musim ini bagaimanapun dinafikan pemain itu sendiri.

Pemain berusia 26 tahun itu juga didakwa menjadi sasaran kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspurs dan juara bertahan Ligue 1, Paris Saint Germain pada 2019.

Bagaimanapun laporan terkini di Milan pula menunjukkan Ketua Eksekutif Juventus, Fabio Paratici mengesahkan  perbincangan telah bermula untuk memperbaharui kontrak Dybala untuk memastikan pemain itu terus kekal bersama the Old Lady.

Kontrak semasa Dybala bersama Juventus akan tamat pada 2022.

“Kami sedang dalam perbincangan untuk menyambung kontrak Dybala kerana dia sudah menyatakan hasrat kekal bersama pasukan dan kami mahu simpan dia.

“Dia adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan masa depan kelab ini..kita akan terus berunding dan mencari jalan mencapai perjanjian dengan Dybala,” katanya.

Dalam aksi seri Juventus dan Verona pada Ahad, Dybala gagal menjaringkan gol di sebalik ketiadaan Cristiano Ronaldo yanhg menjalani kuarantin kendiri positif Covid-19.

Namun Paratici percaya risiko kesihatan dan kecederaan Dybala tidak lagi menjadi isu besar untuk kelab itu.

“Dybala kini dalam kedudukan terbaik secara fizikal dan kita tidak seharusnya lupa bahawa dia pernah berehat dua bulan akibat kecederaan otot dan mengalami jangkitan kuman di Argentina.

“Kini dia berpeluang untuk mempamerkan kebolehannya dan kami merasakan inilah masanya untuk duduk bersama pemain itu dan membincangkan masa depannya,” katanya.-MalaysiaGazette