Suasana di hadapan Pintu Utama Istana Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Raja-Raja Melayu yang memutuskan untuk menolak cadangan mengisytiharkan perintah darurat seperti yang dikemukakan oleh kerajaan semasa.

Titah ini menggambarkan ketegasan dan keperihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap kebimbangan yang disuarakan rakyat yang khuatir terhadap kesan buruk jika darurat diistiyharkan.

Selain itu, keputusan ini juga adalah satu manifestasi dukungan baginda terhadap keutuhan sistem demokrasi dan mekanisme semak dan imbang kuasa cabang eksekutif yang dijamin undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan untuk dihormati dan tidak sewenang-wenangnya diketepikan oleh mana-mana pihak.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, titah ini juga menunjukkan kebijaksanaan serta keyakinan baginda terhadap keupayaan barisan hadapan khususnya penjawat awam dalam sektor kesihatan yang bertungkus-lumus meredakan penularan wabak Covid-19 yang kini menjadi krisis kesihatan dunia.

Mengambil kesempatan ini, ABIM menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama meneruskan keteladanan yang tinggi dengan mematuhi setiap saranan serta standard pProsedur operasi (SOP) yang ditetapkan oleh para petugas yang berada di barisan hadapan. – MalaysiaGazette