Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap kepada media selepas pada Mesyuarat Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Salah seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mengesahkan terdapat cadangan agar parti itu menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.

Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perkara itu merupakan antara yang dibincangkan selain daripada suara majoriti mengatakan tidak mahu bekerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Tarik sokongan kepada Muhyiddin ini ada juga pandangan itu macam-macamlah tapi majoriti pandangan ‘No Anwar, No DAP’,” katanya kepada pemberita selepas selesai mesyuarat Ahli Parlimen BN di Menara Datuk Onn sebentar tadi.

Menurut Zahidi, ada juga dalam kalangan Ahli Parlimen yang mengatakan bahawa perbincangan dengan Muhyiddin perlu dibuat bagi memperincikan isu ketidakpuasan hati berhubung agihan jawatan dalam Kabinet dan di dalam syarikat milik kerajaan (GLC) yang mana pada beliau tidak dianggotai oleh parti itu.

“Dalam keadaan sekarang kita tengah berbincang ada juga pandangan supaya kita dapat berbincang dengan Muhyiddin. Contoh, antaranya kebanyakan menteri-menteri kanan dan menteri penting dipegang oleh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“UMNO ini hanya menumpang, begitu juga ahli lembaga pengarah, beberapa kementerian tidak ada UMNO dan Pas dilantik. Begitu juga dalam kementerian, chairman tidak ada seolrang ahli UMNO. Banyak kelemahan yang kita lihat boleh bincang semula dengan Muhyiddin,” jelasnya.

Bagaimanapun ujar Zahidi, apa yang dibincangkan petang ini bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk dimuktamadkan.

Beliau memaklumkan mesyuarat MT UMNO dijadualkan berlangsung pada 8:30 malam ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.