Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan empat kru kapal Dayang Topaz yang hilang dalam insiden kapal karam di perairan Miri, pagi ini.

Dalam satu kenyataan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som mengesahkan, empat kru kapal terbabit yang pada mulanya dilaporkan hilang berjaya ditemui pukul 9.29 pagi tadi.

Justeru katanya, kesemua 124 kru kapal yang terjun ke laut telah berjaya ditemui semula.

“Berdasarkan maklumat awal, kejadian disyaki berpunca daripada salah satu kabel sauh kapal Dayang Topaz terputus ekoran daripada cuaca buruk dan kapal tidak dapat dikawal lantas hanyut melanggar platform pelantar minyak beram B,” katanya.

Jelas beliau, sehingga kini Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC Putrajaya) sedang bekerjasama dengan syarikat carigali minyak Petronas, Shell,Tentera Udara Malaysia (TUDM), Bomba dan Penyelamat, National Search Coordination Center Brunei yang telah menugaskan sebuah pesawat Brunei Shell Petroleum termasuk Komuniti Nelayan Tempatan.

Malah, APMM turut menggerakkan aset-aset antaranya KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 yang kini berada di lokasi kejadian bagi memantau keselamatan mangsa dan aset-aset operasi dan menyelamat (SAR) yang berada di lokasi kejadian.

Jelasnya, pasukan penyelamat kini terpaksa berdepan dengan situasi agak rumit ekoran keadaan laut yang masih bergelora dengan ketinggian 3.5 ke 4 meter.

Terdahulu, APMM memaklumkan, pihaknya sedang sedang mencari empat kru kapal Dayang Topaz yang dilaporkan hilang di posisi 7.7 batu nautika dari Baram, Miri selepas kapal mereka mulai karam.

Seramai 121 kru yang turut berada di kapal terbabit berjaya diselamatkan manakala, seorang lagi meninggal dunia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

APMM cari 4 kru kapal Dayang Topaz hilang di perairan Miri