Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bercakap kepada media berkaitan memorandum bantahan kepada terhadap tindakan Islamofobia rentetan penghinaan ke atas Rasulullah SAW kepada Kedutaan Besar Perancis di Integra Towe, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Pas mendesak Presiden Perancis, Emmanuel Macron menarik balik semua ucapan provokasi dan tohmahan terhadap Islam.

Naib Presiden Pas, Senator Ihris Ahmad menegaskan, sehingga hari ini Islam menjadi sasaran beliau apabila mengaitkan agama itu dengan keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia.

“Sedangkan hak sebagai rakyat Muslim sentiasa dicabul dan dinafikan tanpa ada sedikit pun belas kasihan.

“Beliau perlu belajar untuk menghormati agama orang lain jika benar mengangkat hak asasi manusia,” katanya pada sidang media di luar Kedutaan Perancis di Malaysia, di Menara Integra, di sini, hari ini.

Terdahulu Idris bersama Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh merancang menghantar memorandum kepada Duta Perancis berhubung penghinaan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun selepas 15 minit berunding, wakil Pas Pusat itu gagal menyerahkan memorandum tersebut kerana tiada temu janji dengan pihak kedutaan dilakukan.

Sebelum ini, dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah di pinggir kota Paris, Perancis pada 16 Oktober lalu apabila seorang guru subjek sejarah di sebuah sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh dengan dipenggal kepalanya.

Pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap baginda kepada para pelajar.

Lebih mengecewakan, Macron mempertahankan tindakan guru
tersebut dan memberikan anugerah khas Légion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan di Universiti Sorbonne pada 21 Oktober lalu.

Dalam pada itu Pas mengutuk tindakan Macron dan mendesak beliau serta Kerajaan Perancis menarik semula anugerah Legion d’Honneur yang telah dianugerahkan kepada Paty.

“Ini kerana ia merupakan suatu pengiktirafan kepada budaya provokasi melampau, iaitu membenarkan penghinaan kepada agama lain.

“Adakah Perancis membenarkan ucapan penghinaan kepada ibu bapa dan agama orang lain atas nama kebebasan bersuara?” katanya.

Pas juga mendesak kerajaan Perancis menggantung lesen penerbitan majalah Charlie Hebdo dan mengharamkan serta-merta penerbitan majalah tersebut.

“Ini kerana sikap biadap mereka yang mengeluarkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW merupakan punca utama kepada rentetan insiden yang berlaku.

“Majalah ini menerbitkan kelakuan biadap terhadap agama lain sehingga mewujudkan Islamofobia dan ketegangan antara agama,” katanya.

Katanya lagi, Pas turut mendesak kerajaan Perancis supaya berhenti bersikap dwi standard kepada rakyat Perancis yang beragama Islam.

“Kerajaan Perancis wajib menjaga hak dan kebajikan mereka sebagai rakyat dan mengiktiraf hak mereka dalam mengamalkan agama.

“Kerajaan Perancis juga harus menangani serangan terhadap komuniti muslim yang kerap kali berlaku kerana Islamofobia.

“Kerajaan Perancis harus bertindak adil dalam usaha untuk mengekang budaya radikal samada daripada muslim dan bukan muslim,” katanya.

Pas turut mendesak agar Kerajaan Perancis mengkaji semula dan membatalkan cadangan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Pemisahan Islam.

“Pemimpin komuniti Muslim mesti dilibatkan dalam sebarang perlaksanaan polisi dan undang-undang yang berkaitan dengan Islam dan Muslim.

“Rakyat Muslim di Perancis tidak perlu dikawal ketat, sebaliknya mereka perlu diberikan kebebasan mengamalkan agama dalam usaha kerajaan Perancis untuk mempromosikan toleransi antara agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette