Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin. MOHD ADZLAN, 2 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 bakat baharu diyakini mampu diketengahkan oleh Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi inisiatif pembudayaan kelab hoki di negeri tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman berkata, usaha baik itu kini giat dijalankan pihaknya dalam usaha mengembalikan status Kuala Lumpur sebagai kuasa hoki tanah air.

Terbaharu badan induk hoki Kuala Lumpur itu mengesahkan telah ‘merekrut’ empat pasukan baharu iaitu Hockey-Lah, Hockademy, KLSSRC dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai Ahli Gabungan dan Ahli Kehormat mereka menerusi satu surat yang dikeluarkan semalam.

“Ini merupakan antara inisiatif baharu kami dengan mengajak pasukan hoki di Kuala Lumpur memastikan mereka berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebelum diterima menjadi Ahli Gabungan PHKL.

“Kami percaya inisiatif pembudayaan kelab hoki merupakan antara formula penting dalam melahirkan kelompok besar pemain hoki di peringkat akar umbi, tidak cukup jika hanya terlalu bergantung kepada bakat yang diasuh oleh sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Megat, konsep ini sudah lama dipraktiskan kuasa hoki utama dunia hasil pemerhatiannya sepanjang melakukan jelajah ke lima negara di Eropah – Belanda, Belgium, Perancis, Jerman dan Itali pada tahun lalu.

“Di sana sistem hokinya tidak hanya tertumpu kepada pembangunan di peringkat sekolah semata-mata tetapi kelab-kelab hoki juga memainkan peranan berkesan dengan mempunyai program akademi untuk kanak-kanak.

“Atas sebab itu sekembalinya saya dari Eropah, saya terus menubuhkan pasukan Hockademy untuk beraksi dalam Liga Hoki Malaysia 2020 dan kami juga mempunyai program akar umbi yang dikenali dengan nama Program Hocka Kids.

“Tidak lupa juga kepada Kelab Hockey-Lah dan Matador yang turut giat bergerak secara profesional menyediakan platform untuk pemain dewasa dan cilik beraksi. Ini yang kita
mahukan,” kata Megat yang juga pemilik pasukan Hockademy.

Dalam masa sama, Megat, 37, berjanji untuk mempelbagaikan lagi aktiviti sukan hoki di Kuala Lumpur supaya dapat meyakinkan pasukan-pasukan di Lembah Klang untuk bergiat aktif dalam sukan ini.

Sebagai rekod, PHKL ketika ini telah mempunyai 27 Ahli Gabungan di bawah naungannya bersama sembilan Ahli Kehormat. – MalaysiaGazette