Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) kepada Pengarah Jabatan Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Sakeri Dollah pada Majlis Penyerahan PPE, Jet Ski dan Basikal Elektrik kepada Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 28 OKTOBER 2020

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mendakwa beliau kononnya memakai gelang merah jambu ketika melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah.

Amirudin menegaskan, sebaliknya apa yang digambarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sebenarnya adalah satu penipuan dan tidak berasas.

“Ramai orang tersilap, saya sedia mengambil tindakan mahkamah kepada mereka yang melaporkan kerana menyusahkan pihak polis dan menyebabkan salah sangka.

“Ada yang gambarkan saya pakai gelang pink, saya tengok pc yang dibuat itu, saya pakai gelang pink keluar, sedar-sedar menipu,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah) JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan memanggil Menteri Besar itu ke Bukit Aman dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar arahan kuarantin kendiri, 4 Oktober lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 serta Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan berkaitan usaha kerajaan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Amirudin sebelum ini menjalani kuarantin kendiri di rumah bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan sebaik pulang daripada Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lalu.

Artikel berkaitan: MB Selangor minta maaf langgar kuarantin

Pada 4 Oktober lalu, Amirudin menerusi akaun Twitternya memohon maaf apabila terpaksa keluar daripada menjalani kuarantin bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas.

Menerusi hantaran sama, Amirudin berkata, beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, manakala kedua-dua ujian saringan yang dilakukannya menunjukkan keputusan negatif.

Amirudin turut memaklumkan beliau melawat Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari berkenaan.

Dalam pad situ, Amirudin sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung dakwaan terhadapnya itu sambil menyifatkan insiden itu sebagai satu salah faham.

“Pegawai saya telah dihubungi, saya akan bekerjasama tetapi saya sudah kemukakan mengapa, apa sebenarnya berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.