Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP bersedia bekerjasama dengan semua parti politik bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman secara automatik untuk tempoh enam bulan lagi.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, lanjutan moratorium secara automatik itu penting untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas akibat gelombang ketiga Covid-19.

“Tan Sri Muhyiddin mendakwa bahawa lanjutan moratorium pinjaman bank dan bantuan bank bersasar selepas 30 September telah membantu lebih daripada 1.4 juta peminjam.

“Walau bagaimanapun, jumlah peminjam ini masih jauh lebih rendah berbanding lapan juta peminjam individu dan korporat yang mendapat manfaat daripada penangguhan enam bulan moratorium pinjaman bank secara automatik.

“Kos lanjutan moratorium pinjaman automatik hanya RM6.4 bilion.

“Industri perbankan yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019 mampu menanggung kos tersebut.

“Sekiranya industri perbankan tidak mahu memikul tanggungjawab sosial korporat tersebut, kerajaan harus menggalasnya.

“Berapa sangatlah RM6.4 bilion berbanding pakej kewangan Kita Prihatin bernilai RM305 bilion atau nilai moratorium pinjaman RM90 bilion kepada lapan juta peminjam dan syarikat individu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Moratorium pinjaman yang berakhir pada 30 September 2020 telah membantu meringankan beban perniagaan dan isi rumah yang terjejas pasca Covid-19, dengan menangguhkan pembayaran pinjaman, termasuk untuk pinjaman gadai janji dan sewa beli.

Moratorium pinjaman bernilai RM90 bilion itu telah memberi manfaat kepada lapan juta peminjam individu dan korporat, katanya. – MalaysiaGazette