Toyota Harrier yang terbakar dan pemandunya disyaki lelaki tempatan rentung dlam kejadian awal pagi tadi.Foto Ihsan: IPD Sepang

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui dalam keadaan rentung di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) yang hangus terbakar berhampiran Stesen Express Rail Link (ERL) Salak Tinggi di Sepang pada pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata, pasukan bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di tempat kejadian pada jam 4.47 pagi sejurus selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu.

Kata Hafisham, setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati sebuah SUV jenis Toyota Harrier terbakar dan seorang mangsa rentung dalam kejadian itu.

“Kami telah memulakan siasatan mengenai kejadian ini untuk menentukan sama ada ia membabitkan kemalangan ataupun unsur jenayah dan mayat diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, pasukan siasatan polis telah pergi ke lokasi kejadian di kawasan semak Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre, Kota Warisan di Sepang.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati makluman kepada pihak polis melalui 999 dibuat oleh seorang lelaki sebagai saksi awam sekitar 3.30 pagi tadi menyatakan terdengar bunyi letupan.

“Saksi yang tinggal di asrama beralamat Jalan Airpot City 2, telah turun ke bawah dan nampak api marak dari dalam hutan (belukar) yang terletak di sebelah asrama lalu menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan pegawai penyiasat di tempat kebakaran mendapati mayat telah rentung sepenuhnya dan polis menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10 meter daripada kereta itu dan kenderaan dikenalpasti sebagai milik seorang lelaki India,” ujar beliau.

Menurut Wan Kamarul Azran, pemeriksaan Forensik Patalogi, Dr. Emizam dari Hospital Serdang mendapati keadaan mayat 90 peratus rentung dan memerlukan bedah sisat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian. – MalaysiaGazette