Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rakyat secara umumnya mula muak dengan keadaan politik negara ini hampir saban hari berpolitik dan berebut kuasa sehingga situasi pandemik Covid-19 tidak lagi menjadi fokus.

Malah keadaan ekonomi yang semakin mudarat sehingga rakyat semakin terbelenggu dengan keadaan kedudukan tidak stabil menyebabkan kepayahan yang terpaksa ditanggung semakin berat bebannya. 

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Jenjarom dan Banting baru-baru ini bagi mendapatkan reaksi orang ramai bagi pembentangan Belanjawan 2021 minggu depan melahirkan rasa kecewa dan takut mereka.

Seorang guru muda, Logaraja Sinnasamy berkata, beliau seboleh-bolehnya mahu setiap peruntukan yang bakal dibentangkan itu diguna dengan sebaik-baiknya terutamanya ketika negara dilanda pandemik serta ketidakstabilan ekonomi cukup teruk.

Kata Logaraja, sememangnya apa yang sedang berlaku di negara ini sesuatu yang cukup menakutkan diri, keluarga, rakan-rakan seterusnya seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, beliau bercakap bagi semua golongan yang ketika ini berada dalam situasi cukup menggerunkan dan perlu mendapat perhatian oleh kerajaan serta ahli politik.

“Masalah pertama adalah Covid-19. Bajet kali ini perlu beri keutamaan penuh untuk pandemik ini. Ramai di luar sana sudah hilang kerja berikutan pandemik ini, ramai hilang punca pendapatan sehingga rumah sendiri terpajak, tiada rumah kerana tidak ada duit bayar sewa.

“Kalau boleh ada peruntukan bajet bagi golongan yang hilang kerja ini, jangan sampai masyarakat kita sendiri menjadi penganggur di negara sendiri manakala rakyat luar negara pula mendapat gaji serta menghantar wang kita ke negara mereka.

“Berilah keutamaan kepada rakyat kita sendiri. Pada masa sama, cubalah kurangkan perbelanjaan membazir, mewah dan tidak menjadi keperluan pada masa ini.

“Menteri-Menteri kita, orang politik kita pastinya faham apa itu ‘Bajet mewah’ yang diperuntukan kepada mereka yang selalunya menjadi persoalan rakyat sehingga kini. Contoh, beli kereta-kereta baharu untuk digunakan oleh golongan ini. Rasanya tidak perlulah.

“Bajet untuk beli barangan mewah, beli kapal perang dan lain-lain. Ketika ini hanya berperang dengan Covid-19, semua peruntukan seperti itu perlu disalurkan untuk tujuan ini, yang lain-lain termasuk pemimpin boleh berkorban sedikit,” katanya.

Bagi juruteknik Ahmad Nassruddin Arshad pula, kerajaan digesa untuk memberi keutamaan serta perhatian lebih kepada golongan B40 dan M40 pada pembentangan kali ini.

“Beri keutamaan pada golongan ini, juga syarikat-syarikat persendirian kerana mereka perlu membayar gaji dan lain-lain. Oleh itu, tambahkanlah peruntukan.

“Saya cukup gembira dan menyokong cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun 1, sangat dialu-alukan perkara seperti itu, tolong bantu rakyat,” ujarnya.

Farah Faznita Abu Bakar, seorang penjawat awam berharap pembentangan Belanajwan 2021 memberikan manfaat ekonomi cukup baik untuk rakyat tidak kira latar belakang memandangkan Covid-19 telah banyak melumpuhkan ekonomi penduduk.

Katanya, ramai orang telah mula menceburi bidang bisnes dalam talian bagi mencari pendapatan lebih, oleh itu fokus perlu diberikan kepada golongan ini.

“Bagi lebih banyak bantuan dalam bentuk dana serta peruntukan untuk kumpulan ini. Biar peruntukan ini juga sampai kepada golongan sasaran ini, jangan sangkut sana-sini.

“Bukakan peluang-peluang perniagaan tempatan, beri mereka tempat untuk bukan sahaja berniaga secara online sebaliknya ada tempat khusus. Kerajaan boleh melabur bagi menyediakan tempat-tempat seperti ini,” jelasnya.

Bagi  Gabriel Raj Mahendran yang merupakan pelajar lepasan IT tetapi masih menganggur terpaksa bekerja memotong ayam di sebuah pasar raya mahu kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Semua perlu dapat pekerjaan, dengan keadaan Covid-19 memang lagi sukar mendapat kerja sehingga terpaksa buat apa sahaja ada depan mata. Minta kerajaan fokus pada itu,” katanya.

Bagi Syarifuddin Shafie yang merupakan pengurus sebuah agensi, mahu rakyat dibantu terutamanya golongan yang terjejas teruk.

“Jangan asyik berpolitik, tolong fokus pada rakyat. Ramai sudah terjejas teruk dengan Covid-19, ramai sangat. Bantulah mereka,” pintanya. -MalaysiaGazette