Gambar hiasan

SOSIALISASI merupakan suatu proses untuk memperkembangkan potensi diri dan mempelajari budaya menerusi pengalaman berhubung dengan kehidupan sesebuah
masyarakat (Macionis, 2018). Proses ini secara spesifik mendidik individu dalam memahami norma dan jangkaan masyarakat, menyedari nilai-nilai yang diamalkan oleh masyarakat, serta mengenalpasti kepercayaan yang dianuti oleh sesebuah masyarakat. Biasanya proses ini ditekankan bagi ahli masyarakat yang baharu, sama ada generasi baharu yang lahir atau ahli baharu yang terdiri daripada individu berasal luar dari masyarakat tersebut. Proses ini amat penting supaya seseorang individu berkelakuan selari dengan norma, nilai, serta kepercayaan yang dipegang erat oleh masyarakat. Sekaligus mereka dapat diterima sebagai sebahagian daripada kelompok masyarakat tersebut.
Begitu juga keadaannya bagi rakyat luar negara yang menetap di Malaysia, terutamanya bagi kalangan pelajar antarabangsa yang menuntut ilmu di menara gading tempatan.

Mereka semua adalah golongan terpelajar dan berilmu, serta mempunyai pengalaman hidup masing-masing. Bertitik tolak daripada kesedaran akan kepentingan proses inilah, maka pihak universiti mengambil inisiatif menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan budaya masyarakat Malaysia khusus buat pelajar antarabangsa yang baharu. Universiti Teknologi Malaysia misalnya menawarkan kursus Budaya dan Masyarakat
Malaysia kepada semua pelajar pasca siswazah antarabangsanya. Kursus ini membincangkan pelbagai aspek termasuklah aspek sosiobudaya, sosiopolitik, dan sosioekonomi negara Malaysia secara ilmiah. Malah kursus ini juga menyediakan platform
agar pelajar antarabangsa merasai sendiri pengalaman berinteraksi dan menghayati keunikan warna-warni budaya rakyat Malaysia melalui lawatan akademik dan aktiviti kemasyarakatan.

Majoriti dalam kalangan pelajar antarabangsa meluahkan penghargaan mereka kerana berpeluang memahami corak  budaya dan pandangan semesta atau weltanschauung. Ia mendokong kepada amalan budaya tersebut dikekalkan dan dijustifikasi sebagai normal atau sesuai dipraktikkan oleh sesebuah masyarakat. Walaupun budaya itu bersifat universal,
namun pada masa yang sama ia juga berdiri secara mandiri disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pengaruh globalisasi yang menyulami kehidupan dalam sesuatu kelompok masyarakat. Budaya Melayu misalnya menerima pengaruh yang mantap daripada ajaran agama Islam. Justeru, agama Islam dan orang Melayu amat simbiotik sifatnya. Dalam konteks sosiopolitik, orang Melayu mempersembahkan perasaan taat setianya yang
tidak berbelah bahagi kepada institusi beraja. Hal ini disebabkan sekalian raja-raja itu memegang amanah yang besar sebagai pemimpin yang mendaulatkan agama Islam. Amalan ini diperkukuhkan lagi dengan justifikasi ajaran Islam itu sendiri yang menyatakan bahawa pemimpin itu wajib ditaati selagi mereka mengajak kepada perkara mentaati perintah Allah
SWT dan menjauhi perkara-perkara mungkar. Maka, tidak hairanlah bagaimana Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan digubal dengan mengambil kira elemen-elemen sistem politik tradisional iaitu dengan menjamin kedudukan Raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia.

Maklumat sebegini dianggap sebagai sesuatu yang tinggi manfaatnya kepada pelajar yang baharu sahaja bermastautin ke Malaysia. Ia boleh dijadikan suatu garis panduan yang tidak
formal yang perlu diketahui oleh pelajar antarabangsa. Ini membolehkan mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan masyarakat Malaysia, terutamanya dalam memberi pendapat mereka sendiri tentang isu-isu yang mungkin dilihat sensitif di mata masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia. Dengan mengetahui maklumat sebegini, mereka akan lebih berhati-hati dalam berbicara dan mampu meminimumkan situasi yang mana boleh menyinggung sensitiviti kumpulan etnik di negara ini.
Selain itu, lawatan akademik dan aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan bagi keperluan kursus ini juga dikatakan meruntuhkan tembok prasangka pelajar antarabangsa terhadap penduduk tempatan. Kebanyakan mereka beranggapan bahawa orang tempatanterutamanya orang Melayu sebagai satu kaum yang begitu pemalu dan agak sukar didekati.

Walaupun begitu, mereka sedia maklum bahawa secara idealnya budaya Melayu itu sangat halus dan unik kerana menjunjung tinggi adat, adab, dan akhlak seperti digariskan oleh
agama Islam. Tatkala dimaklumkan kepada mereka bahawa orang Melayu amat memuliakan orang yang lebih tua seperti ibu bapa dan guru, hatta mencium tangan mereka ketika bersalaman. Mereka seakan-akan tidak dapat mempercayai norma-norma sebegini betul-betul diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu.Implikasinya, setelah beberapa aktiviti dijalankan, mereka amat menghargai pengalaman sebenar tersebut. Jelasnya, ia merupakan suatu platform terbaik bagi mereka mendekati
dan memahami gaya hidup masyarakat tempatan. Sekumpulan pelajar dari negara China berkongsi refleksi bahawa mereka sangat teruja dengan pengalaman mendekati tiga kaum
berbeza iaitu Melayu, Cina dan India ketika menyiapkan tugasan mereka. Tugasannya amat ringkas iaitu meminta tiga kaum tersebut mengajar mereka bagaimana untuk bermain
permainan tradisional iaitu batu seremban. Ketiga-tiga kaum tersebut dengan berbesar hati menolong mereka. Jelasnya, kewujudan pelbagai etnik boleh bekerjasama dalam semua
bidang kehidupan.

Pengalaman berharga ini digambarkan apabila pelajar-pelajar antarabangsa ini terkejut adalah orang Melayu yang dianggap pemalu dan sukar didekati itu sebenarnya amat peramah walaupun dibatasi dengan masalah bahasa ketika berkomunikasi. Mereka diajak minum kopi bersama-sama di serambi rumah kampung. Malah, mereka yang sebelum itu skeptikal tentang amalan mencium tangan ketika bersalaman, benar-benar rasa tergamam apabila anak-anak kecil tersenyum simpul menghampiri dan mencium tangan mereka sebagai tanda hormat dan kasih kepada yang lebih tua.

Pelajar-pelajar antarabangsa ini juga menzahirkan perasaan teruja mereka tentang budaya Malaysia yang masih dipelihara meskipun di dalam era globalisasi. Hakikatnya, budaya luar
mempunyai pengaruh yang kuat untuk menghakis budaya tempatan di mana-mana sahaja. Pelajar antarabangsa ini kagum melihat bagaimana orang Melayu masih memelihara adat
tradisinya dalam istiadat pertabalan diraja dan adat majlis perkahwinan. Mereka juga teruja dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha bagi orang Islam, bagaimana
kaum India menyambut perayaan Deepavali dan Thaipusam dengan meriahnya di kuil-kuil dan sambutan Tahun Baharu Cina bagi masyarakat Tionghua. Begitu juga dengan sambutan
Hari Gawai di Sarawak dan Hari Keamatan di Sabah. Mereka juga kagum melihat bagaimana kaum Cina mengekalkan tradisi dan kemahirannya dalam seni tarian singa. Dari aspek pakaian dan permainan tradisional pula, mereka berasa takjub melihatkan betapa komited dan berbangganya masyarakat Malaysia terhadap busana seharian seperti seni tenunan songket, cheong sam, sari dan seni pembuatan wau bulan serta perayaan tanglung.

Hakikatnya, pelajar antarabangsa ini mempunyai persepsi yang positif bahawa Malaysia adalah sebuah negara bertuah yang diwarnai oleh pelbagai budaya yang unik yang jarang terdapat di lain-lain tempat. Perpaduan dalam kalangan masyarakat juga agak kukuh yang menyumbang kepada pembangunan negara. Proses sosialisasi yang dialami sendiri oleh para pelajar antarabangsa melalui kursus Budaya dan Masyarakat Malaysia ini jelas membuktikan bahawa ia amat relevan dalam meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar tersebut untuk mengadaptasi diri mereka lebih mudah dengan persekitaran dan kerencaman budaya di negara ini. Di samping itu, ia dapat meminimumkan fenomena kejutan budaya yang mungkin mengakibatkan impak negatif terhadap psikologi pelajar. Dalam perspektif yang lain, rakyat Malaysia perlu mengekalkan kestabilan politik, sosial, dan ekonomi agar negara ini mempunyai reputasi yang tinggi di pentas global.

Dr. Faizah Mohd Fakhruddin, Pensyarah Kanan di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia

1 Komen

  1. Cina di tanah kecil Melayu kini merosot ke 12% sebijik Cina di tanah besar China. Begitu juga Keling di tanah kecil Melayu kini merosot ke Ke 12% sebijik Keling di tanah besar India. Padahnya Pak Pandir politikus kemaruk sokongan undi pendatang menang bersorak tetapi kampungnya tergadai.

Comments are closed.