Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor menyeru  akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah SAW di dalam menyatupadukan umat dijadikan contoh oleh ahli-ahli politik supaya bersatu padu dan menyokong penuh usaha kerajaan sedia ada dalam mengatasi masalah penularan wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul tahun 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia bertitah, rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi yang merudum akibat wabak ini.

Oleh itu, baginda mahu ahli-ahli politik bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni.

Titah Baginda lagi, perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara.

Baginda juga bertitah agar seluruh rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam seperti mana yang diajar dan dibimbing oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

”Baginda Rasullah SAW adalah seorang insan mulia dan agung yang merupakan anugerah Allah kepada umat manusia di mukabumi ini. Baginda merupakan seorang Khalifah kepada sekalian umat yang mengajar manusia tentang persaudaraan, akhlak yang mulia serta erti kehidupan yang sebenarnya,” titah Sultan Sharafuddin.

Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, Sultan Selangor menyeru umat Islam supaya terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan As-Sunah dalam kehidupan harian. – MalaysiaGazette