Gambar hiasan

CAKAP-cakap mengenai kewujudan sebuah kerajaan perpaduan atau dalam bahasa Inggerisnya lebih dikenali sebagai “Unity Government” ini muncul berikutan kemelut politik yang sedang melanda dalam negara kita pada ketika.Ramai pihak yang mengeluarkan pelbagai jenis cadangan, idea serta teori bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang dialami oleh negara kita pada ketika ini. Antara cadangan, idea serta teori yang dikemukakan ialah untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang meliputi kesemua parti politik yang ada dalam negara kita. Banyak persoalan yang perlu ditanya dan dijawab mengenai cadangan kewujudan sebuah kerajaan perpaduan ini.

Persoalan yang paling utama yang perlu dilontarkan adalah
bolehkah sebuah kerajaan perpaduan diwujudkan dalam
negara kita? Untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan ini, semua ahli-ahli politik yang ada dalam negara kita perlu mengetepikan segala fahaman politik yang mereka ada serta bersatu bagi mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan. Bolehkan semua ahli-ahli politik kita ketepikan segala perbezaan dan ego yang mereka ada bagi mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan ini? Bak kata pepatah dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Kalau sudah terpaksa, jangan kita terkejut sekiranya semua ahli
politik yang sering bergaduh antara satu sama lain bertahun- tahun lamanya ini bersatu bagi mewujudkan sebuah
kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan ialah sebuah kerajaan yang dianggotai
oleh semua parti politik yang ada didalam sesebuah negara.
Di dalam kerajaan perpaduan ini semua parti politik yang ada
akan megetepikan perbezaan atau fahaman politik yang mereka ada serta sanggup bergabung di bawah satu bentuk pasukan kerajaan yang sama. Ia boleh diibaratkan sebagai sebuah kerajaan yang tiada barisan pembangkang ataupun
barisan alternatif yang lain. Kewujudan sebuah kerajaan perpaduan dilakukan atas pelbagai faktor seperti ketika negara sedang mengalami situasi kecemasan ataupun darurat, ketika negara sedang diserang musuh, ketika negara sedang mengalami bencana alam luar biasa, ketika tidak wujudnya sebuah kerajaan buat tempoh yang lama dan lain-lain lagi.

Tiada tempoh waktu ditetapkan untuk kewujudan kerajaan
perpaduan ini. Semuanya terpulang pada setiap ahli politik
serta parti politik yang terlibat untuk menentukan tempoh
waktu kewujudan kerajaan perpaduan ini. Terdapat beberapa negara dunia yang sudah mewujudkan kerajaan perpaduan ini seperti Afghanistan, Kanada, Croatia, Estonia, Greek, Hungary, Israel, Itali, Kenya, Lebanon, Luxembourg, Namibia, Nepal, Palestin, Afrika Selatan, Sudan Selatan, Sri Lanka, dan Zimbabwe. Malah beberapa buah negara maju di Barat juga pernah didalam sejarah pentadbiran negara mereka juga pernah mewujudkan kerajaan perpaduan ini seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ini jelas menunjukkan, tiada yang pelik mengenai cadangan untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan ini.

Namun perkara pokok yang harus ditanya kini apakah
kebaikan dan keburukan kewujudan kerajaan perpaduan ini?
Terdapat beberapa kebaikan dan keburukan terhadap kerajaan perpaduan ini. Antara kebaikan yang boleh diperoleh melalui kewujudan sebuah kerajaan perpaduan ini ialah ia dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil kerana tiadanya pasukan ataupun barisan pembangkang yang boleh mempertikaikan sebarang keputusan atau tindakan yang diambil oleh kerajaan perpaduan berkenaan. Melalui kerajaan perpaduan juga, sesuatu dasar dan polisi dapat diperkenalkan dengan lebih
mudah serta cepat dirasai oleh semua pihak khususnya rakyat jelata kerana semua ahli politik dan parti politik sudah
mengetepikan fahaman dan ideologi masing-masing terhadap semua perkara. Kerajaan perpaduan ini juga dapat melahirkan kegerunan kepada musuh khususnya musuh dari luar yang cuba menganggu gugat keamanan negara.

Dengan tiadanya pihak lawan wujud didalam negara yang
mengamalkan kerajaan perpaduan ini, musuh luar tidak
dapat mempergunakan mana-mana pihak dalam negara
untuk menentang kerajaan. Pada masa yang sama juga, cadangan kerajaan perpaduan juga boleh membawa kepada keburukan. Antara keburukan yang paling jelas ialah dengan tiadanya barisan atau pasukan pembangkang, pihak kerajaan perpaduan bebas melakukan apa-apa saja perkara yang mereka ingini.Terdapat juga risiko kerajaan perpaduan ini menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka
untuk kepentingan kuasa pemerintahan mereka sendiri.

Segala dasar atau polisi yang dirangka oleh pihak kerajaan
perpaduan ini juga dilihat akan menjadi sebuah dasar atau
polisi syok sendiri kerana ianya dirangka tanpa dinilai oleh
pihak-pihak yang tidak berkepentingan, sekali gus boleh menjadikan dasar dan polisi berkenaan sebagai sebuah dasar atau polisi yang tidak membawa sebarang faedah atau manfaat kepada rakyat jelata dan negara secara keseluruhannya. Dengan tiadanya barisan atau pasukan pembangkang, sistem demokrasi negara akan menjadi terbantut serta tidak berfungsi dengan sempurna. Sekiranya sistem demokrasi negara terbantut dan tidak berfungsi, yang rugi adalah rakyat serta negara.

Oleh yang demikian, adalah penting semua pihak berfikir
dengan teliti sebelum memberi persetujuan terhadap cadangan kewujudan sebuah kerajaan perpaduan ini dalam negara kita. Walaupun bergitu, cadangan bagi mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan ini dilihat lebih sesuai berbanding dengan cadangan mengantung Parlimen serta membubarkan terus Parlimen bagi memberi jalan kepada proses pilihan raya, Sekiranya Parlimen digantung, negara dibimbangi akan diperintah oleh sebuah kerajaan kuku besi dan sekiranya pula Parlimen dibubarkan dan pilihanraya dipanggil ia akan menganggu gugat fokus kita bagi
membendung penularan Novel Koronavirus (Covid-19)
dalam negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang- Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

2 Komen

  1. gst dulu pun begitu juga. tengok orang lain buat kita pun nak ikut buat. yang jadi mangsa ialah rakyat. orang kerajaan semakin sedap. hampir2 nak sama lah sistem kominis.

  2. Kerajaan Perpaduan sama dengan Kontrak Sosial atau Kongsi Kuasa Pak Pandir politikus kemaruk sokongan undi pendatang sehingga tanah Melayu kini merosot ke 12% termasuk rela berputih mata muka tebal di mata dunia melihat Penang dan Singapore dibiarkan dijajahi kuasa politik majority undi pendatang buruh dibawa masuk penjajah British Malayan Union ibarat Pak Pandir menang bersorak tetapi kampungnya tergadai, kan?

Comments are closed.