Tan Sri Muhyiddin Yassin

MUAR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin yang berada di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah.

Perdana Menteri berkata kerajaan berusaha mencari jalan mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri-industri tersebut terutama selepas pintu sempadan negara ditutup dalam usaha mengawal penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata pertimbangan itu untuk tempoh bekerja setahun atau dua sahaja, katanya ketika Sesi Sembang Santai bersama masyarakat Cina dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pagoh di sini hari ini.

“Beri dia lesen atau permit kerja sementara, macam bagi pengampunan atau kita gunakan istilah pemutihan. Ini sedang kita fikirkan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian semasa menjawab soalan Pengerusi Persatuan Tiong Hua Bukit Pasir Er Yu Peng mengenai usaha kerajaan membantu penduduk yang terlibat dalam sektor sawit di Pagoh yang kini berdepan masalah kekurangan pekerja ekoran pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata langkah itu akan dijelaskan dengan lebih lanjut oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah kelak untuk mengelakkan ia disalah faham.

“…kerana saya takut, kalau saya kata boleh, lain kali sindiket-sindiket haram akan bawa ini orang (pekerja asing tanpa izin) masuk sini kerana dia (sindiket) kata ini tidak apa, orang Malaysia baik, Perdana Menteri dia orang baik.

“You (pekerja asing tanpa izin) duduk satu tahun sudah ada pas (sudah boleh dapat) permit untuk kerja. Itu (tanggapan begini) salah,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau sedar isu ketiadaan pekerja dalam sektor sawit dan getah menjejaskan banyak pihak kerana sering diutarakan dalam pertemuan beliau bersama penduduk setempat termasuk persatuan-persatuan masyarakat.

“Sebab itu, nanti kita tengok macam mana keadaan. Kalau boleh, kita cuba laksanakan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada setiap empat NGO kawasan Parlimen Pagoh.

Empat NGO itu ialah Rumah Berhala Poh Hoon Kong Tanjung Selabu, Pertubuhan Penganut Dewa Seong Tay Kong, Persatuan Penganut Dewa Hua Kuang dan Jawatankuasa Pengurusan Perkuburan Kong Hock Tong.- BERNAMA

3 Komen

  1. Ramai warga asing minta Kerajaan untuk program rehiring dilaksanakan sebelum ini sebelum Covid 19 tetapi Kerajaan tak berikan pertimbangan dan membuat operasi menangkap mereka… ramai peniaga dan perniagaan pada masa itu susah dan memerlukan Tenaga kerja … Sekarang apabila ekonomi merosot tiada punca perniagaan Kerajaan buka untuk kelulusan… nak faham susah nak buat rehiring lagi susah. Kami nak cadangkan untuk yuran ini dibayar secara ansuran supaya tidak membebankan Usahawan atau syarikat Di Malaysia… @malaysiagazaette minta hebahkan… Ini apa yang berlaku dinegara kita … apa jadi saranan Kerajaan yang nak berikan keutamaan kepada pekerja tempatan banyak yang hilang pekerjaan… apa jadi untuk mereka ….

  2. Sia-sia jer pasukan keselamatan mengawal pencerobohan penyeludup pemerdangan PATI di sempadan. Bahkan penyeludup pemerdangan PATI naik semangat membawa masuk lebih ramai PATI kerja sawit di Pagoh, kan?
    Daripada menganggur, penganggur warga tempatan lebih baik kerja sawit lebih-lebih lagi Melayu yang kebanyakannya petani, pesawah, dan nelayan terpaksa rela membanting tulang empat kerat di bawah panas terik matahari.

Comments are closed.