Muhyiddin Yassin

PAGOH – Sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak COVID-19, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

“Memang ramai yang teks saya berkata ‘tolonglah Tan Sri, kami susah.’ Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

“Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir di sini, hari ini. – Malaysia Gazette