Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pasukan keselamatan yang bertugas dalam negara masih mencukupi walaupun ribuan anggota polis kini menjalani kuarantin.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kekurangan anggota di sesuatu kawasan akan segera diganti oleh pasukan dari cawangan lain.

“Jika kita terima laporan ada anggota berkurangan di mana-mana lokasi, kita akan bawa anggota dari cawangan lain.

“Setakat ini kita masih mampu melakukan mobilisasi ke kawasan yang dijangkiti,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana negara tidak berdepan masalah kekurangan anggota keselamatan disebabkan jangkitan wabak itu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata, lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin, manakala sekurang-kurang 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memakluman sehingga kini sebanyak 433,886.5 kilogram bantuan barang, keperluan dan makanan dihantar ke Sabah sejak 22 Mac lalu bagi membantu negeri terbabit memerangi Covid-19.

Katanya, penghantaran itu membabitkan 17 misi penerbangan dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Walaupun saya adalah Menteri Pertahanan namun, saya ingin sampaikan rasa terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM yang memberi bantuan kepada kerajaan dalam menyampaikan bantuan ini ke Sabah.

“Sebenarnya untuk Sabah saja, sudah banyak kerajaan lakukan termasuk bantuan RM50 juta yang diberikan kepada kerajaan negeri Sabah untuk menangani Covid-19.

“Penularan wabak itu dilihat agak tinggi sehingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diisytiharkan,” ujarnya.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, beliau bersama Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam program penghantaran keperluan kritikal ke Sabah yang dilakukan di Pangkalan TUDM, pagi tadi. – MalaysiaGazette