KUALA LUMPUR – Suspek utama pengendali Macau Scam yang ditahan polis di sebuah pusat peranginan terkemuka Pahang pada Selasa lalu akan direman esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur,  Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, Alvin Goh Leong Yeong, 32, ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah POCA selepas reman tiga hari ke atasnya berakhir hari ini.

“Alvin Goh hari ini ditangkap bawah POCA dan kita akan membawa dia ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk permohonan perintah reman (reman baharu) bagi meneruskan siasatan di bawah POCA.

“Kita pasukan polis akan memohon reman selama 21 hari bawah Seksyen 4(1) POCA,” kata beliau dalam mesej ringkas kepada pemberita hari ini.

Pada Selasa lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Alvin ditangkap pasukan JSJ Bukit Aman di sebuah hotel di pusat peranginnan di  luar Lembah Klang bersama seorang wanita dipercayai teman wanitanya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Alvin diburu polis sejak 12 Oktober lalu selepas Raja Macau Scam melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan memanjat pagar dengan menggunakan pengawal peribadinga.

Suspek kes pengubahan wang haram itu dikehendaki dalam siasatan melibatkan tiga kes jenayah iaitu bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terlibat dengan perjudian online di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. – MalaysiaGazette

Raja Macau Scam panjat pagar SPRM berjaya ditangkap semula