KUALA LUMPUR-Robinson Co. (Malaya) Sdn Bhd akan menutup dua gedungnya di Malaysia dan akan memulakan proses pencairan aset disebabkan ketidakupayaan untuk meneruskan operasi akibat permintaan yang lemah.

Robinsons yang merupakan gedung serbaneka antarabangsa terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang mana menyaksikan jualan fizikal jatuh merudum berbanding jualan dalam talian.

Pengurus Besar Kanan Robinsons, Danny Lim berkata, perubahan landskap pengguna menyukarkan syarikat untuk berjaya dalam jangka masa panjang dan ini ditambah dengan pandemik yang melanda di seluruh dunia.

Pengendali gedung serbaneka itu maklum terhadap kelembapan permintaan industri tersebut dengan laporan menunjukkan jualan runcit di Malaysia terus merosot kepada pertumbuhan negatif 8.5 peratus pada suku pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Di Malaysia, industri peruncitan mencatatkan kadar pertumbuhan terburuk dalam tempoh 33 tahun dengan tinjauan masa bagi beberapa bulan hadapan terus negatif kerana para pelanggan dijangka mengurangkan perbelanjaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Robinsons memiliki dua gedung di Malaysia iaitu di The Gardens Mall dan di The Shoppes, Four Seasons Place.

Situasi yang sama turut dialami oleh Robinsons di Singapura- MalaysiaGazette