Dr. Wirdati Mohd Radzi.

KUALA LUMPUR – Tempoh perkhidmatan Dr Wirdati Mohd Radzi selaku Pesuruhjaya Sukan berakhir hari ini, selaras dengan pemendekan kontrak perkhidmatan beliau.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan ia merupakan pertukaran biasa dalam perkhidmatan kerajaan.

“Pengalaman dan kepakaran Dr Wirdati Mohd Radzi sepanjang berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sukan telah membantu KBS khususnya dalam memperkemas tadbir urus persatuan-persatuan dan badan-badan sukan,” menurut kenyataan itu.

KBS pada masa sama, turut merakamkan penghargaan kepada Wirdati sepanjang menerajui Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Wirdawati yang merupakan bekas pensyarah Universiti Malaya, dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan pada Julai 2019 bagi menggantikan Datuk Zaiton Othman.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran sukan, termasuk pernah dilantik sebagai Bendahari Persatuan Pengurusan Sukan Asia pada 2014 hingga 2016, selain Presiden Persatuan Pengurusan Sukan Malaysia (2006).

Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017 hingga 2021.- BERNAMA