Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kes positif baharu Covid-19 di negara ini mengalami sedikit penurunan kepada 659 kes menjadikan jumlah kes positif adalah sebanyak 31,548 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 10,051 kes.

Daripada 659 kes baharu itu terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu dari Bangladesh yang melibatkan bukan warganegara.

Sabah masih kekal sebagai negeri tertinggi Covid-19 dengan 529 kes, Selangor (55 kes) dan Negeri Sembilan adalah 25 kes.

“Sehingga kini, terdapat 83 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 19 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian pada hari ini dengan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 249 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Noor Hisham memberitahu, tiada pertambahan kluster baharu pada hari ini dengan jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster.

“Sebanyak 137 kes atau 20.8 peratus daripada jumlah keseluruhan berkaitan kluster-kluster penjara dan pusat tahanan sementara dilaporkan pada hari ini yang terdiri daripada Kluster Penjara Kepayan sebanyak 26 kes dan Kluster Rumah Merah adalah111 kes,” katanya. – MalaysiaGazette