Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja di Malaysia yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja di Malaysia yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kelonggaran bagi pengeluaran tersebut antaranya dapat membantu mereka yang tiada pekerjaan mahupun kehilangan pekerjaan.

Menurutnya, ada kemungkinan pekerja terpaksa meminjam dengan institusi kewangan sehingga ke pinjaman ah long disebabkan terhimpit untuk meneruskan kehidupan harian.

“MTUC berpendapat daripada mereka meminjam, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran tersebut.

“Kaedah ini dapat mengurangkan beban ekonomi pekerja terhadap pinjaman sedia ada, bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan kehidupan harian di samping menggunakan dana yang dikeluarkan ini sebagai modal perniagaan perniagaan untuk menyara hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan membayangkan sukar untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan. – MalaysiaGazette