FGV

KUALA LUMPUR – CGS CIMB Research berpendapat jangkaan pampasan RM3.5 billion – RM4 billion oleh FGV Holdings Bhd (FGV) daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) susulan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) antara kedua-dua pihak adalah optimistik.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata pandangannya adalah berasaskan kepada trend sejarah pembayaran LLA dan pemahamannya mengenai formula pampasan.

Menurut CGS CIMB, kos bagi Felda untuk mengambil alih baki pegangan yang ia tidak miliki dalam FGV adalah RM2.6 billon, berdasarkan kepada pemodalan pasaran terakhir FGV.

“Bacaan kami adalah jumlah pampasan akan tinggi bergantung kepada tahun kewangan yang digunakan bagi pengiraannya.

“Jika ia berdasarkan kewangan 2019 FGV, pampasan dijangka rendah atau minimum, manakala jika ia berasaskan kepada kewangan 2020 atau 2021, ia dijangka lebih tinggi, tetapi amaun akhir akan bergantung kepada prestasi estet FGV dan harga minyak sawit mentah,” kata firma penyelidikan itu.

CGS CIMB berkata, ia mengandaikan estet di bawah LLA bernilai RM2.55 bilion.

“Oleh itu, kami melihat janji niaga itu sebagai positif atau negatif bagi FGV sekiranya nilai pampasan di atas atau di bawah penilaian RM2.55 bilion kami bagi estet.

“Bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kami melihat penamatan LLA itu sebagai negatif kerana ia bermakna FGV tidak dapat menuai hasil daripada penanaman semulanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata firma itu.

LLA itu melibatkan estet milik Felda berjumlah 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV bagi tempoh 99 tahun dari 1 Nov, 2011.-BERNAMA