Peguam bela macau scam Alvin Goh, Loi Yap Loong bercakap kepada media megenai permohonan reman 21 hari oleh polis untuk disiasat di bawah POCA ketika di Balai Polis Tahanan Lokap Jinjang Kepong. foto MOHD ADZLAN, 31 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Suspek utama kes pengubahan wang haram, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh ditahan reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 hari ini.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Jack Looi Yap Loong ketika ditemui pemberita selepas beredar dari Lokap Bersepadu Kuala Lumpur Jinjang, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Menurut Jacky, Majistret Kuala Lumpur, Noraina telah menerima permohonan daripada pihak polis untuk menahan reman Alvin dalam tempoh 21 hari bagi membantu siasatan.

“Anak guam saya diarah reman semula selama 21 hari bermula hari ini (31 Oktober) sehingga 20 November ini.

“Polis mohon reman di bawah Seksyen 3(1) di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 untuk membantu siasatan mereka.

“Semasa pendengaran mahkamah, majistret membenarkan permohonan tahanan reman anak guam saya untuk tempoh 21 hari,” katanya pada sidang media di luar Lokap Bersepadu Kuala Lumpur Jinjang hari ini.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata Alvin Goh diberkas di sebuah pusat peranginan di Pahang, pada awal pagi Selasa lalu.

Alvin ditahan reman semalam tiga hari selepas dia diberkas Selasa lalu mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Alvin dikesan sering bersembunyi dari satu ke satu lokasi lain selepas melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 11 Oktober lalu.

Alvin dikesan bersembunyi di sebuah residensi sebuah pusat peranginan di Pahang, bersama seorang wanita warga China dipercayai teman wanitanya.

Jacky juga memaklumkan tiga hari lalu anak guamnya ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Semalam Alvin ditangkap semula di IPK Kuala Lumpur di bawah Seksyen 3(1) POCA ketika dia berada dalam tahanan IPK Kuala Lumpur sejak 26 Oktober lalu.

“Semalam saya dimaklumkan bahawa beliau akan ditahan di bawah Seksyen 3(1) POCA.

“Sejak semalam, Alvin memang ada di bawah tahanan IPD Cheras dan petang semalam Alvin telah ditangkap semula di bawah Seksyen 3(1) POCA,” jelasnya.

Jacky juga memberi jaminan anak guamnya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dipercayai mengenai aktiviti perjudian dalam talian.

“Anak guam saya sedia beri kerjasama sepenuhnya sebab dia merasakan dia tidak melakukan jenayah ini,” katanya.

Ditanya tentang warganegara China yang diberkas bersama Alvin sebelum ini, Jacky memaklumkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tidak membenarkan reman ke atas wanita berkenaan.

“Teman wanita warga asing yang ditangkap bersama Alvin telah dilepaskan pada 27 Oktober selepas diberkas di Pahang.

“Mahkamah Majistret memutuskan bahawa warganegara asing itu tidak harus ditahan dan oleh itu telah menolak permohonan reman dan dibebaskan daripada tahanan polis,”katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Suspek lari selepas dibebaskan SPRM ditahan di bawah POCA