Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin mengakui beliau turut tidak bersetuju jika pilihan raya diadakan pada masa ini.

Namun Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak boleh berbuat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan dan terpaksa mengadakan pilihan raya.

Kecuali jelas beliau, jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak yang membolehkan kerajaan menangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya  sehingga Covid-19 berakhir.

“Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.

“Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hatilah.

“Jagalah diri saudara dan saudari semua. Patuhi SOP (prosedur standard operasi) dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan,” katanya dalam perutusan khas situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen  hari ini.

Muhyiddin menambah, kerajaan memandang serius perkembangan peningkatan kes positif Covid-19 sejak sebulan yang lalu.

Jelasnya, beliau  telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 hampir setiap hari.

“Saya bersama menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan meneliti data-data dan syor-syor yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam membendung Covid-19.

“Kita mengambil pendekatan untuk mengimbangi antara kepentingan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup saudara dan saudari sekalian. We have to strike a fine balance between protecting lives and
livelihood.

“Kita perketatkan SOP bagi kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Tetapi pada masa yang sama, kita benarkan kegiatan ekonomi untuk diteruskan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat untuk memastikan perniagaan dan industri terus beroperasi,” katanya. – MalaysiaGazette