Wan Ahmad Wan Omar

KUALA LUMPUR – Jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan atas bidang kuasa dan budi bicara Perdana Menteri, bukan mengikut Perlembagaan Negara, kata Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Malah, kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, jawatan nombor dua itu juga tidak ada dalam Perlembagaan, sebaliknya ia adalah kedudukan yang dicipta oleh Perdana Menteri.

Oleh itu, katanya, semua pihak harus menghormati kuasa Perdana Menteri untuk memilih siapa sahaja dalam parti politik bagi memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dirasakannya selesa bekerja bawah beliau.

“Walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini didokong oleh beberapa parti politik dan UMNO atau Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kerusi, tetapi pelantikan anggota Kabinet adalah bidang kuasa Perdana Menteri.

“Itu (bidang kuasa itu) perlu dihormati oleh mana-mana parti politik di bawah demokrasi berparlimen.

“Sebagai Perdana Menteri, dia tentunya akan memilih dan melantik siapa yang dia rasa selesa untuk bekerja,” katanya dalam wawancara khas dengan portal MalaysiaPost semalam.

Menurut Wan Ahmad, Timbalan Perdana Menteri adalah jawatan kedua utama negara yang sangat penting dan sesiapa yang mengisi kedudukan itu mestilah orang yang boleh bekerjasama dengan Perdana Menteri.

Kata beliau, jika melantik seorang yang tidak dapat bekerjasama, bukan saja kestabilan politik, malah kestabilan dalam kerajaan juga akan berdepan dengan kesulitan pentadbiran kerana masing-masing tidak sehaluan.

“Malaysia pernah melalui sejarah Perdana Menteri dengan timbalannya tidak sehaluan sebelum ini. Jadi, kita kena ambil iktibar mengenainya.

“Jadi, pelantikan ini adalah bidang kuasa prerogatif Perdana Menteri. Dia sebaik mungkin mahu memilih orang yang boleh bekerjasama dengannya dalam meningkatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut bersetuju jawatan nombor dua itu diberikan kepada UMNO, tetapi siapa antara pemimpinnya yang layak terserah kepada Perdana Menteri memilihnya.

“Tidak mengapalah kalau UMNO mahu memastikan pemimpinnya duduk dalam jawatan nombor dua itu. Memang logiklah, sebab UMNO adalah sebuah parti yang besar yang mendokong kerajaan sekarang.

“Maka, sewajarnya dapat pertimbangan atau penghormatan untuk diberikan jawatan itu. rakyat pun boleh terima dan faham hirakinya, tetapi siapakah orangnya?

“Ini UMNO kenalah hormati budi bicara kuasa Perdana Menteri. Sudah tentu beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hendak cari orang yang mendokong kuat kepadanya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau dah tak ada tak payah lah diadakan. buat ngabih duit negara saja. dahlah para menteri dan kabinet over size. tambah lagi tpm ini bukan nak bela rakyat dah nampaknya. nak bebesar perut masing2

Comments are closed.