Barisan kepimpinan UMNO menyerahkan memorandum Sauara Hati Rakyat berkaitan Belanjawan 2021 kepada Menteri Kewangan, Datuk Ser Tengku Zafrul Abdul Aziz di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO hari ini menyerahkan Memorandum Suara Hati Rakyat terhadap Belanjawan 2021 kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Putrajaya.

Memorandum tersebut mengandungi 10 cadangan utama  untuk memastikan peningkatan aliran tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam keadaan negara berhadapan krisis pandemik Covid-19.

Penyerahan itu dibuat oleh Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam pertemuan wakil-wakil UMNO bersama Tengku Zafrul di Kementerian Kewangan.

UMNO diwakili Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Dr Asyraf dalam hantaran di laman Facebook berkata, pertemuan berlangsung di pejabat Tengku Zafrul dari jam 10 pagi dan berakhir kira-kira 11.45 pagi tadi.
“Beliau (Tengku Zafrul) kelihatan cukup positif dan memberikan jaminan untuk mengambil serius apa yang dibangkitkan kerana semuanya menyentuh soal realiti kesempitan dan kesusahan rakyat ketika ini termasuk isu KWSP, lanjutan moratorium, pembuangan kerja dan belia menganggur,” katanya.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan Memorandum Suara Hati Rakyat yang diserahkan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Putrajaya hari ini.

Antara 10 cadangan utama untuk memastikan peningkatan Aliran Tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kala negara berhadapan dengan krisis Pandemik COVID-19 termasuklah:

1. Lanjutan tempoh morotarium secara pukal untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-6 bulan lagi.

2. Memberi kebenaran untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM5000

3. Yuran percuma kepada para pelajar Universiti Awam oleh kerana tiada sesi pengajaran dan pembelajaran di kampus Universiti.

4. Bantuan Bulanan E-Wallet sebanyak RM50 sebulan selama 12 bulan kepada pelajar Universiti Awam dan Swasta untuk pembelian data telefon mudah alih bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian (on-line)

5. Bayaran khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu-bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan tahun 2021.

6. Melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN hingga Disember 2021. Cash rebate sebanyak 30 peratus bagi peminjam PTPTN yang terus membayar pinjaman sepanjang wabak COVID 19.

7. Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS). Kerajaan disarankan untuk memberi bantuan geran RM 5000 kepada syarikat yang berkelayakan melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP).

8. Insentif subsidi upah RM600 sebulan selama 12 bulan kepada syarikat yang menggaji graduan dan belia yang di ambil bekerja.

9. Meningkatkan geran reskilling kepada pekerja sektor pelancongan (perhotelan, penerbangan, dll) untuk membantu mendapat pekerjaaan sektor lain.

10. Bayaran khas bulanan kepada Penjawat Awam Barisan Hadapan (frontliners) sehingga berakhirnya pendamik Covid-19 atau berada di tahap minimum. – MalaysiaGazette