Canselor UNITEN Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua (TYT) Pulau Pinang, Tun (Dr) Abdul Rahman Abbas dilantik menyambung tugas sebagai Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi tempoh tiga tahun lagi.

Ia berkuat kuasa 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.

Naib Canselor UNITEN, Prof. Datuk Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha mengucapkan tahniah atas penyambungan tugas Abdul Rahman.

Menurutnya, Abdul Rahman mula dilantik sebagai Canselor UNITEN sejak 19 Januari 2005 lagi.

Beliau sinonim dengan dunia pendidikan apabila memulakan kerjayanya sebagai seorang pendidik pada awal 1960-an.

Karier politiknya bermula apabila terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam dan semasa menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang, beliau pernah sebanyak tiga kali diberi kepercayaan memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Setelah berpuluh tahun bakti ditabur kepada masyarakat secara jujur dan ikhlas, jawatan beliau dianugerahkan kepadanya pada 1 Mei 2001 sebagai tunggak perpaduan dan lambang kemakmuran negeri Pulau Pinang.

Selaku Canselor UNITEN, kata Kamal Nasharuddin, Abdul Rahman mengambil berat mengenai pembangunan dan pencapaian
UNITEN dari semasa ke semasa dan mengharapkan agar institusi pendidikan itu terus cemerlang dan melakarkan kejayaan sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti
terkemuka dalam bidang tenaga di Asia dan antarabangsa.

“TYT Tun Abdul Rahman juga sentiasa menekankan agar UNITEN memperkasakan aspek pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan graduan yang holistik dan menepati kehendak industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain penyambungan pelantikan Canselor UNITEN, pihak pengurusan tertinggi universiti juga telah menyambung pelantikan Pro Canselor UNITEN iaitu Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali bagi tempoh yang sama iaitu berkuat kuasa 1
Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.

 

Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

Ahmad Tajuddin ketika ini merupakan Pengerusi Bersama Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) serta pengerusi kepada beberapa organisasi lain seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), SIRIM Bhd, Linde Holdings Malaysia Bhd dan Optimax Holdings Bhd.

Beliau turut pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi
dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu dari tahun 1996 hingga 2000.

Semasa beliau menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah UNITEN dan dalam tahun 1996, UNITEN telah dinaik
taraf dari sebuah institut kepada sebuah universiti dan beliau adalah individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea nama universiti ini iaitu Universiti Tenaga Nasional.

Ahmad Tajuddin juga adalah instrumen penting kepada pembangunan UNITEN di awal penubuhan. Sumbangan dan jasa beliau amat besar untuk UNITEN.

UNITEN juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan dua Pro Canselor UNITEN iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 22 Oktober 2020 hingga 21
Oktober 2023.

Mahdzir Khalid

Mahdzir merupakan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) / UNITEN.

Mahdzir adalah mantan Menteri Besar Kedah dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Menteri Pendidikan sebelum dilantik Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) / UNITEN pada 12 Mei 2020 lalu.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Leo Moggie yang bersara dari TNB pada 12 Mac 2020 lalu selepas 15 tahun menjadi Pro Canselor UNITEN.

Bagi Amir Hamzah pula adalah Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB yang memulakan kerjayanya pada tahun 1992 dalam Kumpulan Syarikat Shell selama 10 tahun, berkhidmat dalam pelbagai kapasiti sebelum menerajui syarikat lain seperti Petronas Lubricants International Sdn Bhd, Petronas Dagangan
Berhad dan MISC Berhad.

Amir Hamzah Azizan

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Icon
Offshore Bhd dan Naib Presiden Petronas.

Amir Hamzah adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd dan Pengerusi UEM Edgenta Berhad sebelum dilantik sebagai Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB pada April 2019.

Justeru, mewakili seluruh warga UNITEN, Kamal Nasharuddin mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan berkenaan.

Pelantikan kedua-dua pro canselor baharu itu seiring dengan perubahan dimensi pendidikan tinggi negara ke arah kecemerlangan pendidikan yang kreatif dan inovatif, katanya.

“Gandingan kepimpinan itu selaras dengan hasrat UNITEN untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf global, berdaya saing dan terunggul.

“Sebagai satu-satunya universiti swasta yang berperanan membangunkan modal insan dalam bidang tenaga, UNITEN akan terus komited melahirkan lebih ramai graduan holistik dan seimbang,” katanya.- MalaysiaGazette