Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman hari ini mengesahkan Datuk Lokman Noor Adam ditahan atas kesalahan menyiarkan video berunsur jenayah dan komen jelik terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed yang mengesahkan penahanan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, Lokman ditahan di kediamannya jam 11 malam tadi.

“Unit Siastan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadap satu laporan polis ke atas Lokman Noor Adam.

“Pada 1 November 2020, siasatan telah dimulakan ke atas sebuah video yang telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facbook Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan yang jelik sifatnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin).

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan,” katanya dalam kemyataan hari ini.

Menurut Huzir, polis turut merampas gajet daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video yang tular itu.

“Permohonan reman sehari dibenarkan ke atas suspek dan siasatan lanjut masih diteruskan,” kata beliau.

Huzir berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa menerima tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak.

Berikutan itu, pihaknya menggesa semua pihak memberi ruang untuk PDRM melengkapkan siasatan secara telus dan adil.

Semalam Lokman Adam dalam status FB beliau mendakwa dia telah ditahan USJT di Bukit Aman dan akan menggunakan khidmat peguam untuk hadir ke ibupejabat PDRM  itu.

Beliau yang ditahan kerana melakukan penstriman langsung bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul? ‘itu turut memaklumkan didatangi pegawai polis lalu menamatkan sesi tersebut.

“Malam ini saya didatangi beberapa anggota polis. Saya tidak tahu apa (benda) yang mereka mahukan.

“Jadi saya rasa malam ini cukuplah. Polis dah tunggu lama dah,” katanya sebelum sesi itu dihentikan.

Huzir ketika dihubungi MalaysiaGazette mengenai penahanan Lokman tengah malam tadi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu..

Beliau mengakui kertas siasatan telah dibuka terhadap Lokman. -MalaysiaGazette

Lokman ditahan selepas buat FB Live