Bekas Menteri Agama merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media selepas diambil keterangan berhubung didakwa mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Perdana Menteri ke 8 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa selesai memberikan keterangan di Bukit Aman jam 7.20 petang tadi.

Bekas Menteri Agama itu mengesahkan beliau disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Siasatan tersebut menurut beliau, berkaitan ucapannya pada Mac lalu.

“Saya dipanggil bantu siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia atas ucapan yang saya buat pada Mac di Parit Buntar.

“Siasatan ke atas saya (juga) dikatakan didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga melahirkan rasa pelik apabila mendapati polis mengambil masa yang lama untuk memanggilnya memberi keterangan kerana ucapan itu dizahirkan lebih lapan bulan lalu.

“Saya pelik kerana Akta Hasutan itu setahu saya semasa saya dalam PH kita tak guna, malang hari ini saya tak tahu kenapa akta ini dipakai.

“Ucapan saya buat di kawasan saya setelah jatuh kerajaan PH dan setelah selesai (Tan Sri) Muhyiddin sebagai PM.

“Saya menerima panggilan, satu siasatan diperlukan keatas saya pada bulan Mac, saya tak tahu kenapa dia memakan masa sangat panjang, kini baru dibuat siasatan,” katanya lagi.

Bekas Menteri Agama merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media selepas diambil keterangandi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2020.

Mujahid dipanggil ke Bukit Aman hari ini susulan laporan polis yang dibuat terhadap beliau pada Mac lalu kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu selain kenyataan berbaur hasutan.

Mac lepas, beberapa media melaporkan satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang ke atas Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka yang dianggap mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan. – MalaysiaGazette