Sebuah pasar raya di Jordan menampal poster boikot barangan Perancis. foto Agensi

SESUATU yang sangat melampau telah berlaku di Perancis dan menjadi tugas umat Islam untuk meneruskan kempen dan #herdikansosial agar negara dan rakyat mereka menghentikan dengan segera hinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ dan tidak mencampuri urusan umat Islam. Sebagai seorang Muslim, Allah mengingatkan kita, hamba-Nya agar tidak mencerca atau
memaki sembahan mereka sebagaimana dalam ayat 108 surah al-An’aam:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka telah kerjakan.”

Menurut Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir (Jilid 7, m/s 327):  “Ulama berkata bahawa hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka, dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ia seolah-olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Melalui ayat ini, jelas kita tidak boleh memperlekehkan sembahan mereka. Sesungguhnya menghina merupakan salah satu sifat manusia yang mengikuti hawa nafsu. Sikap ini merupakan salah satu sifat tercela yang dilarang Allah SWT dan harus dihindari oleh seorang Muslim.

Bagaimana jika mereka menghina Nabi  ﷺ? Dalam soal ini, sesiapa pun yang mencerca serta menghina Nabi Muhammad  ﷺ , kita sebagai umat Islam wajib bangkit mempertahankan baginda ﷺ .Menurut Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi menyatakan bahawa sahabat Rasulullah  ﷺ sangat menjaga kemuliaan baginda walaupun setelah ketiadaannya. Sahabat Nabi ﷺ akan berasa sensitif jika ada sesiapa yang menyakiti Rasulullah  ﷺ. Ingatkah kita mengenai Menteri Kehakiman Mesir, Ahmed al-Zind, 70, yang dipecat kerana menghina Nabi ﷺ sebagaimana yang tersiar dalam sebuah rencana bertajuk  ‘Padah persenda Nabi, Menteri Mesir dipecat’ yang yang dilaporkan Sinar Harian pada 15 Mac 2016 lalu, memetik laporan Press TV.

Ahmed al-Zind yang mengeluarkan kenyataan bahawa dia akan memenjarakan mana-mana individu yang didapati bersalah tidak terkecuali Rasulullah. Ucapan ini telah disiarkan secara langsung dalam siaran televisyen Mesir dan telah mengundang kemarahan dan bantahan umat Islam Mesir. Situasi yang masih hangat mengenai Perancis yang mana baru-baru ini menyaksikan
kontroversi mengenai pernyataan sebilangan besar ahli politik mereka yang menyasarkan Islam dan umat Islam.

Menurut Mufti Lubnan, Syeikh Abd al-Latif Derian pada 24 Oktober lalu, "Menghina Nabi ﷺ adalah pencerobohan terhadap umat Islam dunia.” Dalam pada itu, beliau menegaskan, “Kebebasan berpendapat, bersuara dan berekspresi dalam semua cara tidak bermaksud boleh melanggar kepercayaan dan keyakinan orang lain dan sesungguhnya ini memerlukan pertimbangan semula, konsep kebebasan mutlak yang
tidak mempunyai batasan seperti ini."

Persatuan perdagangan Arab mengumumkan memboikot produk Perancis dan penarikan sepenuhnya barangan mereka sebagai sebahagian daripada kempen tunjuk perasaan terhadap pelanggaran berterusan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad ﷺ. Hinggakan puluhan persatuan menyertai kempen tersebut dan mengumumkan boikot dan penarikan produk Perancis dengan sepenuhnya melalui pelbagai platform di laman
komunikasi sebagaimana yang dilaporkan Anadolu.  Persatuan ini berinteraksi dengan hashtag ‘#Except_Massoul_May Allah’ dan
‘#Boycott_French Products’.

Manakala di Kuwait, ketua dan anggota dewan pengarah Persatuan Koperasi Al-Naeem memutuskan untuk memboikot semua produk Perancis, tanpa menawarkan atau menjualnya, dan membuangnya sepenuhnya daripada semua laman web persatuan itu.

Persatuan di Daerah Dhahr pula mengambil langkah yang sama, dengan mengatakan, "Berdasarkan kedudukan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan sokongannya terhadap gambar-gambar yang menyinggung perasaan Nabi ﷺ kita yang dikasihi, kami memutuskan untuk mengeluarkan semua produk Perancis daripada pasar dan cawangan sehingga diberitahu lebih lanjut." Persatuan Al-Aqeelah dan Bandar Saad Al-Abdullah juga menyertai kempen yang dilakukan ini dengan menyiarkan foto di platform elektronik mereka yang menunjukkan penghapusan produk daripada pameran mereka. "

Dengan prinsip penolakan dan kecaman atas kesalahan yang dilakukan terhadap Nabi ﷺ kita yang mulia dan sebagai pembelaan terhadap baginda, kami mengumumkan untuk menyertai kempen memboikot produk Perancis," umum syarikat Al-Wajba Dairy dari Qatar. "Pelanggan yang terhormat, kami mengucapkan terima kasih atas keperihatinan dan komentar anda.. Kami akan segera menarik balik segala produk Perancis di semua cawangan kami sehingga diberitahu kelak,” umum syarikat pemegangan saham Qatar, Al-Meera Consumer Goods Company di laman web rasminya.

Universiti Qatar juga ikut serta dalam kempen tersebut, ketika pemerintahannya memutuskan untuk menangguhkan Minggu Kebudayaan Perancis selama-lamanya dan turut menyelar tindakan Presiden Perancis yang berkaitan penyalahgunaan Islam dan simbol-simbolnya yang disengajakan.

“Bahawa pelanggaran terhadap kepercayaan, kesucian dan simbol Islam sama sekali tidak dapat diterima, kerana pelanggaran ini membahayakan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip moral tertinggi semua masyarakat kontemporari," ujar universiti itu di Twitternya. Aplikasi Sununu Store turut serta dalam kempen yang diadakan dengan mengatakan, "Kami secara rasmi mengumumkan, sebagai sebuah syarikat nasional, penangguhan semua produk Perancis daripada kedai yang mengambil bahagian dalam aplikasi kami sehingga diberitahu lebih lanjut, untuk membela Nabi ﷺ dan agama yang kami percayai."

Dalam perkembangan berkaitan, pada 20 Oktober lalu Ketua Urusan Agama Turki, Profesor Ali Erbas dalam pidatonya, semasa pertemuan perundingan yang dianjurkan oleh Presiden Urusan Agama di Turki untuk menteri, ketua, mufti kanan yang berkaitan dengan urusan agama di negara anggota OIC, menggesa agar dunia Islam bekerjasama dan saling berganding bahu untuk memerangi Islamofobia.  "Itulah sebabnya kami perlu memerangi anti-Islam bersama-sama."

Sungguh mengejutkan kita sebagai seorang Islam apabila ahli politik negara Perancis itu gigih mengadakan kempen menentang Islam. Mereka berusaha mencetuskan konflik dan menyatakan secara jelas menentang Islam. Selain itu, mereka turut melaksanakan sekatan terhadap umat Islam di sana dan menafikan kebebasan beragama serta mewujudkan diskriminasi terhadap ritual dan ibadah umat Islam. Perancis baru-baru ini menyaksikan kontroversi mengenai pernyataan sebilangan besar ahli politik yang menyasarkan Islam dan umat Islam berikutan kejadian pembunuhan seorang guru sejarah dan geografi, Samuel Paty di sebuah sekolah di Perancis yang menunjukkan kartun yang menghina Nabi Muhammad ﷺ selain menuntut kebebasan bersuara pada 16 Oktober lalu.

Manakala Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengatakan, "Islam tidak dapat dipadamkan dan cahayanya tidak akan dapat dipudarkan." Beliau yang juga merupakan ulama dan tokoh tersohor yang menjadi antara rujukan utama umat Islam seluruh dunia mengulas mengenai kempen sistematik menentang Islam
terutama setelah kenyataan berunsur menghina umat Islam oleh presiden Perancis. Menurutnya lagi, "Secara semula jadi, kebangkitan demi kebangkitan akan terjadi, dan jika umat Islam terlena suatu hari, maka demi Islam mereka harus  angun."
Banyak organisasi Islam mengecam pembunuhan guru itu tetapi menekankan bahawa ini tidak dapat dipisahkan daripada kecaman terhadap tingkah laku yang dizahirkan oleh guru
itu yang secara jelas menyinggung perasaan umat Islam.
Pada hari Rabu sebelumnya 14 Oktober, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengatakan dalam satu kenyataan bahawa negaranya tidak akan menghentikan kartun menghina Nabi
Muhammad ﷺ dan Islam.

Terdahulu, majalah Perancis, Charlie Hebdo telah menerbitkan 12 kartun yang menghina Nabi Muhammad ﷺ pada tahun 2006 hingga mencetuskan gelombang kemarahan umat Islam di seantero dunia. Di Syria, rakyat negara itu membakar gambar presiden Perancis, bendera pula dibakar di Tripoli, Libya manakala barangan Perancis ditarik daripada pasaran di Qatar, Kuwait dan
beberapa negara Teluk lain. Selain itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membandingkan layanan terhadap orang
Islam di Eropah dengan layanan terhadap orang Yahudi sebelum Perang Dunia Kedua dan turut menggesa agar barangan Perancis diboikot.

Baru-baru ini pada 27 Oktober di Dhaka, puluhan ribu rakyat Bangladesh penunjuk perasaan menzahirkan kecaman dengan berarak dalam demonstrasi anti-Perancis terbesar sejak presiden Perancis itu mempertahankan kartun memaparkan Nabi Muhammad ﷺ. Himpunan yang dihadiri kira-kira 40,000 orang turut membakar patung Macron dan melaungkan “Boikot produk Perancis” dan anggota kanan Islami Andolon Bangladesh (IAB),
Ataur Rahman dalam ucapannya menggesa kerajaan  #39;menghalau' duta Perancis.

Negara-negara Islam lainnya turut bersuara menentang tindakan Perancis itu. Begitu juga Malaysia menegaskan pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan
provokatif yang mencemarkan nama baik Islam. Kementerian Luar Negeri menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam ketika dalam pertemuan dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur pada 28
Oktober lalu.  Dalam kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu berkata bahawa Malaysia juga menegaskan pentingnya inisiatif untuk mengurangkan dan menghilangkan Islamofobia di
semua peringkat serta akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mempromosikan saling menghormati antara agama dan mencegah ekstremisme agama.
Selayaknya begitulah kita sebagai seorang Muslim menzahirkan rasa kebencian terhadap apa yang presiden Perancis itu lakukan, bukan hanya berdiam diri meneruskan kehidupan seperti tiada apa-apa yang terjadi.

Mungkin situasi yang berlaku ini ada yang tidak mengetahuinya, namun tugas kita menyampaikan kepada umat Islam agar bangkit menyatakan rasa amarah, dengan tindakan yang dilakukan mereka kepada Nabi yang kita cintai ini. Dengan keadaan yang terjadi ini, jelas bahawa Islam mengalami serangan di beberapa bahagian dunia dan Islamofobia telah berubah menjadi sentimen sentimen perkauman dan anti-Islam. Selain itu, bahasa kebencian yang terus berlanjutan melalui kempen anti-Islam digunakan secara terang-terangan di platform media sosial, saluran televisyen dan ucapan politik. Justeru, kita sebagai Umat Islam, teruskanlah menyampaikan risalah atau mesej yang
bersifat Rahmatan Lil Alamin sebagaimana yang dibawa Nabi ﷺ. Moga dengan usaha yang kecil ini menjadi jariah kebaikan yang berpanjangan sebagai bekalan bertemu Yang Maha Esa.

Atriza Umar,  Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).