Sebahagian pelajar PERMATA Pintar yang mengikuti program Hari Kerjaya di Pusat PERMATA Negara UKM Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Pusat GENIUS @ Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhasrat mewujudkan Sekolah Antarabangsa Pintar dan Berbakat dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.

Pengarahnya Prof Madya Dr Rorlinda Yusof berkata, terdapat permintaan dari negara luar seperti Arab Saudi dan negara-negara Asia Tenggara, yang berminat dengan program pendidikan pintar dan berbakat diperkenalkan pusat itu sejak 10 tahun lepas.

“Prosesnya sudah pun bermula terutama dari segi kurikulum. Buat masa ini, kita dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai kurikulum kebangsaan, untuk pelajar pintar di seluruh negara.

“Penubuhan sekolah ini juga sekali gus akan meletakkan program pendidikan pintar dan berbakat di negara ini setaraf di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai hasrat itu, katanya pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjadikan program pendidikan pintar dan berbakat pusat tersebut, sebagai kurikulum kebangsaan khusus untuk anak-anak pintar.

“Kurikulum anak-anak pintar ini berbeza kerana ia dibuat bagi memenuhi keperluan kognitif mereka yang telah dikenal pasti terlebih dahulu. Kurikulum ini telah dicuba di peringkat universiti dan berjaya diaplikasi hingga ke hari ini, sekali gus ia boleh dikongsi dengan KPM, untuk mengajar anak-anak pintar di negara ini,” katanya.

Katanya, sehubungan itu pusat itu akan melatih para guru yang dijalankan bersama Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan Institut Pendidikan Guru (IPG), untuk membolehkan mereka mengajar murid-murid pintar dan berbakat yang berada dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Selain itu, sebuah sekolah pintar dijangka dibuka tahun depan, yang akan diletakkan di bawah pengurusan sebuah sekolah berasrama penuh baharu di Pendang, Kedah menerusi program Pintar Cerdas.

“Buat masa ini, kita sedang melakukan proses pemilihan pelajar dan latihan guru yang akan ditempatkan di sana,” katanya.

Sementara itu, Rorlinda berharap agar semua alumni Pusat GENIUS @ Pintar Negara, UKM akan menyumbang kepakaran mereka kepada negara, selain menjadi model kepada pelajar pintar baharu yang lain.

“Lebih 1,400 pelajar pintar telah dihasilkan pusat itu sejak 2011 dan mereka telah menyambung pengajian ke serata dunia dengan 79 peratus daripadanya telah berada dalam pasaran kerjaya,” katanya sambil menyatakan rancangan untuk mengadakan persidangan untuk alumni.

Pada masa sama, pihaknya turut berhasrat untuk mengadakan persidangan dengan pelbagai pihak kepimpinan dari institusi-institusi pintar di dunia agar dapat bertukar-tukar pandangan.

— BERNAMA