Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan menggariskan empat tuntutan yang mendesak untuk dipertimbangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 Jumaat ini.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu mengemukakan bajet yang tuntas dengan mengambil kira masalah kesempitan hidup dan kebajikan rakyat dalam mengharungi kehidupan seharian sepanjang tempoh pemulihan akibat pandemik Covid-19.

Kata beliau, antara tuntutan itu ialah meminta kerajaan mewujudkan Skim Bantuan Kebajikan belia bekerja bawah 30-an dalam golongan B40.

“Ini memandangkan golongan umur seperti ini dalam proses hendak memulakan kehidupan berkeluarga, yang mana pendapatan pun belum stabil.

“Kementerian Sumber Manusia perlu dilibatkan dengan menggunakan data setiap syarikat berdaftar bagi menjejak golongan sasar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan, tuntutan lain ialah mewujudkan Bantuan Dana Perniagaan khas untuk anak muda bagi merancakkan GIG Economy mereka sendiri.

Iaitu, pendaftaran syarikat perniagaan secara enterprise perlu dibuat bagi mengelakkan ketirisan dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kata Noor Hariri lagi, kolaborasi empat kementerian utama iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh memastikan kejayaan itu.

Di samping itu, beliau meminta kerajaan mewujudkan Skim Dana Kebajikan bagi mahasiswa dan mahasiswi di universiti serta kolej untuk meringankan beban tanggungan yuran belajar dan tempat tinggal.

“Ini merangkumi permintaan 70 peratus daripada keseluruhan ibu bapa pelajar yang berada dalam kategori golongan B40.

“Manakala agihan dana boleh dibuat melalui Kementerian Pengajian Tinggi bagi tujuan ini,” katanya.

Beliau juga mengemukakan tuntutan Pemuda UMNO negeri itu supaya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan pengeluaran caruman maksimum RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pencarum seperti cadangan Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi baru-baru ini.

Kata beliau, pengeluaran wang caruman itu tentunya memberi kelegaan kepada mereka yang 100 peratus terjejas akibat wabak Covid-19.

“Ini secara tidak langsung, kerajaan juga tidak terbeban dengan pemberian one-off yang besar apabila pencarum menggunakan wang mereka sendiri.

“Kita harap kerajaan menimbangkan cadangan ini kerana anak muda adalah aset negara untuk mengembalikan semula pembangunan insani dan fizikal bagi mengekalkan Malaysia di dalam landasan kegemilangan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.